Jangan ulang kesilapan dalam kerjasama dengan Bersatu, pemimpin PKR beritahu PH

Jangan ulang kesilapan dalam kerjasama dengan Bersatu, pemimpin PKR beritahu PH

Parti-parti dalam gabungan mesti berada di landasan yang sama dengan ideologi yang sama, kata William Leong.

Ahli Parlimen Selayang William Leong daripada PKR percaya bahawa gabungan dengan ideologi yang berbeza-beza pasti akan runtuh.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) harus mengelak pendekatan “khemah besar”, memandangkan wujudnya bahaya pertembungan ideologi, apabila menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU), kata seorang pemimpin PKR.

“Parti-parti kita mesti berada di landasan yang sama dengan ideologi yang sama,” kata Bendahari PKR William Leong.

Beliau mengimbau pengalaman gabungan itu apabila bekerjasama dengan Bersatu, ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad, yang akhirnya menjadi perdana menteri selepas PRU 2018.

Ahli Parlimen Selayang itu berkata, Mahathir hanya berminat untuk mendesak ideologi dan keutamaannya sendiri “yang berbeza daripada kami”.

Katanya, gabungan dengan ideologi yang berbeza-beza pasti akan runtuh.

Beliau berkata, pakatan pembangkang telah menggunakan pendekatan yang sama pada PRU 2013, dengan mengemukakan agenda reformasi dan manifesto.

“Tetapi bagi saya, ideologi menjadi keutamaan,” katanya.

Pendekatan “khemah besar” digunakan bagi menggambarkan kecenderungan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyatukan semua parti pembangkang menentang BN. Bagaimanapun, timbalan presidennya, Rafizi Ramli berulang kali berkata beliau menentang idea itu.

Dalam isu berasingan, Leong berkata, sabitan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor baru-baru ini akan dapat meningkatkan sokongan kepada gabungan itu.

Ini berdasarkan pemerhatian dan tinjauan parti sejak perbicaraan bermula, katanya.

Leong berkata, partinya dapat merasakan terdapat “perubahan dalam trajektori” dan timbul lebih banyak minat dan sokongan untuk PH susulan keputusan mahkamah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.