MB nafi tolak undang-undang anti-lompat parti DUN Johor

MB nafi tolak undang-undang anti-lompat parti DUN Johor

Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan undang-undang anti-lompat parti.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, negeri itu tidak pernah menolak pelaksanaan akta anti-lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menolak dakwaan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi bahawa kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) menolak pelaksanaan akta anti-lompat parti.

Beliau berkata kerajaan negeri teguh menyokong undang-undang baharu itu dan tidak akan menolak pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri tidak pernah menidakkan kepentingan akta anti-lompat parti. Sebaliknya, kerajaan negeri akan terus mengikuti proses dan saluran undang-undang yang betul dalam hal ini, bagi memastikan amalan demokrasi terjamin di Johor.” katanya di Twitter.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana yang berkenaan, sebelum memperkenankan Seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Sebaik sahaja enakmen itu dikuatkuasakan di peringkat negeri, kerajaan negeri akan meminda perlembagaannya supaya selaras dengan peruntukan larangan lompat parti.

Pada Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan rang undang-undang anti-lompat yang bersejarah itu melalui undian blok.

Seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu. 11 Ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian berlangsung.

Pembentangan rang undang-undang anti-lompat adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.