Kesihatan tambah baik, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

Kesihatan tambah baik, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

Hasil pemeriksaan terkini pakar perubatan mendapati tahap kesihatan bekas perdana menteri itu dalam keadaan baik.

Hospital Rehabilitasi Cheras memaklumkan keadaan kesihatan bekas perdana menteri Najib Razak kini dalam keadaan baik.
PETALING JAYA:
Pakar perubatan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mendapati tahap kesihatan bekas perdana menteri Najib Razak kini berada dalam keadaan baik.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, HRC memaklumkan pemeriksaan terkini yang dilakukan terhadap Najib oleh pakar perubatan HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan baik.

“Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang,” kata KKM.

Selain itu, HRC turut memaklumkan bahawa Najib sudah menerima rawatan rehabilitasi dan menjalani latihan sepanjang berada di hospital.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,

“Pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga bersama beliau dan ahli keluarga terdekat…mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” menurut KKM lagi.

Sebelum ini Jabatan Penjara berkata, Najib telah dipindahkan ke HRC, pada 19 Sept bagi mendapatkan rawatan dan pemerhatian.

Katanya, Najib dipindahkan ke HRC selepas dirujuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bekas perdana menteri itu akan dihantar kembali ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman selepas mendapat pelepasan daripada pakar dari HRC atau HKL.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, juga menafikan dakwaan berlegar di media sosial bahawa Najib diberi layanan istimewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.