Didakwa aniaya 2 anak saudara, suami isteri mengaku tak salah

Didakwa aniaya 2 anak saudara, suami isteri mengaku tak salah

Pasangan itu didakwa bersama-sama telah menganiaya dua kanak-kanak masing-masing berusia enam dan tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Julianah Omar dan suaminya, Muhammad Asyari Mohd Alwi mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen Ampang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua tuduhan menganiaya dua beradik yang juga anak saudara mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Julianah Omar, 34, dan suaminya Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, yang kelihatan tenang, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kedua-dua tuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama, sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun sembilan bulan dan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, telah menganiaya dua kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah pasangan suami isteri itu di Apartment Bella Vista, Taman Cahaya Ampang, pada 5.05 petang, antara Ogos 2022 sehingga 16 Sept 2022.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua tuduhan, disertai syarat tambahan, iaitu pasangan itu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Ditanya hakim mengenai status kedua-dua mangsa, Aiza berkata, mereka kini berada di hospital dan akan diserah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Peguam Azlinie Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap tertuduh kerana Julianah, iaitu adik kepada ibu kandung mangsa, tidak bekerja dan kini mengandung lima bulan, selain menghidap diabetes dan gout.

“Tertuduh pertama (Julianah) berstatus ‘high risk’ (risiko tinggi) dan memerlukan bekalan serta rawatan berkala di hospital memandangkan dia pernah mengalami keguguran dan kini mengandung lima bulan bersama pasangan baharunya (tertuduh kedua), seorang pemandu e-panggilan yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan,” katanya.

Mahkamah membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan kes termasuk laporan perubatan dua beradik itu.

Media sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditahan susulan menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap kondominium itu pada 16 Sept lepas.

Polis turut menemukan adik kepada mangsa, iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan serta belakang badan juga dipercayai akibat didera

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.