PRU15: MIC tak tanding 12 kerusi Parlimen, kata Vigneswaran

PRU15: MIC tak tanding 12 kerusi Parlimen, kata Vigneswaran

Presiden MIC itu berkata kerusi ditandingi lebih sedikit berbanding laporan mendakwa parti komponen BN itu akan bertanding di 12 kerusi Parlimen.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata keputusan muktamad sama ada parti itu kembali semula bertanding di Cameron Highland akan diumum Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC menafikan hasratnya bertanding 12 kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presidennya SA Vigneswaran berkata, kerusi yang dipertimbang untuk ditandingi parti itu lebih sedikit dari jumlah tersebut serta hanya mensasarkan kawasan boleh menang.

“(Tanding) kurang dari 12 kerusi… Kita tak nak cakap berapa kerusi yang kita nak tanding, sebelum apa-apa dimuktamadkan, saya tak mahu cakap kita tengok 12 kerusi ke, beberapa kerusi ke.

“Untuk 12 kerusi tu, ‘I don’t think so’ (saya rasa tidak). Agak-agak yang berpatutan kita boleh menang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengesahkan laporan Malaysiakini memetik sumber, bahawa parti itu berhasrat bertanding di 12 kawasan Parlimen termasuk kerusi tradisi Cameron Highlands, pada PRU15.

Menurut laporan itu, selepas ketiadaan Gerakan dalam gabungan Barisan Nasional (BN), membuka pintu kepada MIC bertanding lebih banyak kerusi.

Antara kerusi dikenal pasti adalah sembilan kerusi tradisi MIC, Sungai Siput, Tapah di Perak, Hulu Selangor, Kota Raja, Sungai Buloh, Kapar di Selangor, Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Selain itu, sumber memaklumkan parti itu mengenal pasti Teluk Intan (Perak) dan Padang Serai (Kedah) antara kerusi sesuai ditandingi, pada PRU15.

Sementara itu, Vigneswaran ketika ditanya sama ada, MIC akan bertanding di Parlimen Cameron Highland, menurutnya keputusan muktamad akan diumum Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya (parti) secara realistik nak bertanding di kerusi yang boleh bawa kemenangan kepada BN, tak guna kita minta kerusi yang kita tak boleh menang,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2004, MIC bertanding sembilan kerusi Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.