
Dalam keputusan yang menggembirakan suku kaum Semelai di Bera itu, mahkamah tertinggi memerintahkan Orang Asli tidak boleh diusir dari tanah adat mereka menerusi perintah milikan terus bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Keputusan bersejarah itu secara efektif memastikan semua tuntutan ke atas tanah hak adat perlu melalui tindakan writ atau perbicaraan.
Penduduk suku kaum terbabit yang tinggal di Kampung Lubuk Perah, diusir selepas Mahkamah Tinggi Temerloh, membenarkan Elite Agriculture Sdn Bhd, menerusi prosedur pemilikan terus, mengambil alih tanah mereka pada Februari 2021.
Syarikat itu mendakwa kerajaan Pahang meluluskan 903 ekar (365ha) bagi tujuan penanaman kelapa sawit. Suku kaum Semelai, bagaimanapun, mendakwa mereka berada di tanah terbabit sejak enam generasi.
Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pengusiran pada September lalu, yang memihak kepada Orang Asli.
Mahkamah Persekutuan, hari ini, menolak permohonan penangguhan Elite Agriculture terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, sambil menyatakan syarikat itu gagal mematuhi prosedur wajar dalam mengambil alih tanah yang berdepan tuntutan hak adat.
Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, Perintah 89, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012- di mana milikan terus diperoleh – tidak terpakai dalam kes berkenaan.
Katanya, kemasukan dan pendudukan Orang Asli di tanah yang disebut adalah mengikut undang-undang.
Beliau berkata, hak adat Orang Asli merupakan isu suku kaum yang tidak dapat diputuskan hanya dengan afidavit semata-mata.
Hakim lain bersidang adalah Hasnah Mohammed Hashim dan Rhodzariah Bujang.
Pada Feb 2021, Mahkamah Tinggi Temerloh membenarkan pemilikan terus tanah kepada Elite Agriculture melalui Perintah 89, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Peguam Selva Balan Sinnan, Hon Kai Ping dan Elaine Gan mewakili Tok Batin, Hajemi Din dan penduduk di H.S. (D) 9781, No. PT. 9492, Mukim Bera, manakala Shafee Abdullah dan Tania Sciavetti mewakili perayu.