Timbalan menteri tak dengar ada VVIP masuk Hospital Rehabilitasi Cheras

Timbalan menteri tak dengar ada VVIP masuk Hospital Rehabilitasi Cheras

Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-10 tahun pada 15 Sept lalu juga mengakui tidak menerima laporan kemasukan VVIP ke fasiliti itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya tidak mendengar ada mana-mana VVIP dimasukkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi menerima rawatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali menafikan ada orang kenamaan amat penting (VVIP) menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

“Saya tidak dengar ada mana-mana VVIP yang masuk pula ke sana,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai status terkini kesihatan bekas perdana menteri Najib Razak.

Kenyataan itu seolah-olah memberi jawapan bahawa Najib tidak menjalani rawatan lanjut di premis tersebut seperti yang dipaparkan dalam kenyataan Jabatan Penjara.

Noor Azmi yang baru sahaja merasmikan sambutan 10 tahun HRC pada 15 Sept lepas turut mengakui bahawa tidak menerima laporan kemasukan VVIP ke fasiliti itu.

“Dulu memang ada seorang Ahli Parlimen yang rebah secara tiba-tiba di Dewan Rakyat dan kemudian dikejarkan ke HRC untuk rawatan susulan, malah saya pun menziarahi dia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau dilihat hanya memberi jawapan berlapik dengan berkata bahawa kualiti HRC amat hebat dan bertaraf dunia serta mampu merawat pesakit yang dirujuk ke sana.

Hari ini, Jabatan Penjara memaklumkan bekas perdana menteri Najib Razak dihantar ke HRCuntuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut kenyataan jabatan itu, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.