Saya tak tanding kerusi Bakri pada PRU15, tegas Kit Siang

Saya tak tanding kerusi Bakri pada PRU15, tegas Kit Siang

Veteran DAP itu berkata, beliau sudah bersara daripada politik kompetitif.

Lim Kit Siang berkata, Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad menyebarkan berita palsu.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang menepis khabar angin mendakwa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Bakri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Isnin lalu, Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad dilaporkan berkata, beliau mendapat maklumat mengenai mesyuarat DAP, di mana Lim berkata beliau “mungkin bertanding di Bakri”, walaupun Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang berusia 81 tahun itu mengumumkan persaraannya daripada politik aktif awal tahun ini.

Lim dalam kenyataan hari ini berkata: “Saya tidak tahu dari mana Hasni mendapat maklumatnya, tetapi dia terbukti sebagai pemimpin politik dan ahli strategi yang kejam, menyampaikan maklumat palsu.

“DAP dan Pakatan Harapan perlu bersyukur kerana Hasni adalah pemimpin Umno di Johor yang percaya dengan maklumat salah.

“Untuk makluman Hasni, saya sudah bersara daripada politik kompetitif dan saya tidak tahu mengenai sebarang mesyuarat DAP baru-baru ini untuk membincangkan pencalonan saya bagi kerusi Parlimen Bakri pada PRU15.”

Kerusi Bakri kini disandang Yeo Bee Yin dari DAP.

Ketika mengumumkan persaraannya dalam Kongres DAP pada Mac lalu, Lim berkata, beliau “tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya umum atau negeri pada masa depan”.

Lim menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sejak 1966 dan merupakan setiausaha agung DAP selama 30 tahun dari 1969.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Melaka (1969-1974), Kota Melaka (1974-1978), Petaling (1978-1982), Kota Melaka (1982-1986), Tanjong (1986-1999), Ipoh Timor (2004-2013) dan Gelang Patah (2013-2018).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.