Mengapa lewat menguatkuasakan undang-undang anti-lompat, soal Bersih

Mengapa lewat menguatkuasakan undang-undang anti-lompat, soal Bersih

Kumpulan pemantau itu berkata pindaan perlembagaan perlu berkuat kuasa ketika PRU15 semakin hampir.

Rang undang-undang mengenai pindaan perlembagaan anti-lompat telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih mempersoalkan kelewatan dalam menguatkuasakan undang-undang anti-lompat, yang diwartakan awal bulan ini.

Bersih berkata ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir, adalah penting untuk akta itu dilaksanakan bagi memastikan pilihan pengundi tidak akan terbatal oleh pembelotan selepas pilihan raya.

Di bawah pindaan itu, Ahli Parlimen yang bertukar parti, kerusi mereka akan dikosongkan secara automatik dan pilihan raya kecil akan diadakan.

Bersih berkata Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengisytiharkan pada Ogos bahawa pindaan itu akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada pertengahan September.

Bagaimanapun, baru-baru ini dilaporkan bahawa undang-undang itu hanya akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta Persekutuan.

“Bersih ingin tahu mengapa penguatkuasaan pindaan ini ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan.

Bersih turut menyeru Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya melaksanakan pindaan perlembagaan tanpa sebarang penangguhan lagi.

Kumpulan itu berkata pindaan perlembagaan akan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang baik dalam pilihan raya akan datang.

Rang undang-undang mengenai pindaan perlembagaan anti-lompat itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai, di mana seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu, manakala 11 Ahli Parlimen tidak hadir.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara melalui undian blok, dengan 52 senator menyokong rang undang-undang itu manakala tujuh senator tidak hadir ketika pengundian berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.