Mahkamah terima sebahagian besar pernyataan saksi bekas pembantu Zahid

Mahkamah terima sebahagian besar pernyataan saksi bekas pembantu Zahid

Fadzlette Othman Merican Idris Merican adalah setiausaha akhbar kepada Ahmad Zahid Hamidi semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan kini pengarah medianya.

Semalam, peguam Ahmad Zahid Hamidi berhujah anak guamnya tidak akan mendapat perbicaraan adil, jika mahkamah menerima hujah pihak pendakwaan dan menghalang saksi pembelaan memberi keterangan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menerima sebahagian besar pernyataan saksi bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri itu melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun berkata, mahkamah membenarkan bantahan pihak pendakwaan pada tiga perenggan, iaitu baris terakhir dalam perenggan 17 dan 22, dan keseluruhan perenggan 18 supaya dikeluarkan daripada pernyataan saksi Mejar Jeneral (B) Fadzlette Othman Merican Idris Merican, yang merupakan saksi pembelaan kedua.

“Saya dapati selebihnya, (perenggan) 16 hingga 30 (pernyataan saksi) berkaitan fakta secara langsung dalam isu yang menjadi teras kes pembelaan dan oleh itu bukan perkara kolateral yang tertakluk di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.

“Berhubung perenggan 16 dan 17, saya bersetuju dengan pembelaan bahawa perkara terkandung adalah pengenalan naratif tentang bagaimana saksi pembelaan (Fadzlette) mengenali saksi ke-90 pendakwaan, bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly,” kata beliau.

Pada 19 Sept lalu, pihak pendakwaan membantah sebahagian pernyataan saksi Fadzlette atas alasan ia tidak relevan dan tidak boleh diterima.

Semalam, pihak pembelaan berhujah bahawa Zahid tidak akan mendapat perbicaraan adil, sekiranya mahkamah menerima hujah pihak pendakwaan dan menghalang saksi pembelaan memberi keterangan.

Dalam keputusannya, hakim berkata, beliau mendapati Seksyen 153 Akta Keterangan terpakai untuk keadaan sangat spesifik dan sehingga keterangan yang dikemukakan itu boleh menjejaskan karakter saksi (Mejar Mazlina) serta tidak relevan dengan fakta dan isu kes itu.

“Dalam keadaan itu, sebaik saja saksi menjawab soalan itu, Seksyen 153 Akta Keterangan akan beroperasi untuk menghalang mana-mana pihak yang bertentangan daripada memperkenalkan bukti bercanggah.

“Mengguna pakai prinsip ini pada cadangan pernyataan saksi oleh saksi pembelaan kedua (Fadzlette), saya dapati bahagian dalam perenggan 18, yang diambil kira pihak pembelaan, tertakluk di bawah larangan Seksyen 153 Akta Keterangan.”

Hakim juga dalam keputusannya berkata, beliau akan menerima empat cadangan pernyataan saksi bagi menjimatkan masa mahkamah.

“Oleh itu, pernyataan saksi itu akan diterima sebagaimana adanya, tetapi tanpa prejudis kepada hak pihak pendakwaan untuk meminta perenggan atau bahagian pernyataan saksi yang menjejaskan itu dipadamkan pada penghujung kes melalui hujahan keseluruhan kes.”

Mahkamah kemudiannya memerintahkan pernyataan saksi itu dipinda sewajarnya.

Perbicaraan diteruskan dengan Fadzlette membaca pernyataan saksinya.

Fadzlette adalah setiausaha akhbar kepada Zahid semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri, dan kini pengarah media untuk presiden Umno itu.

Pada 30 Ogos lalu, Zahid selesai membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah selama 17 hari.

Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.