
Menurut Muhammad Haziq Samrat, 27, malah dia menyifatkan teguran yang diterima antaranya mendakwa kononnya isteri berkahwin dengannya adalah kerana duit sebagai kelakar walaupun pada mulanya diakui mengguris hatinya.
Pemuda OKU fizikal itu berkata hatinya tidak terasa dengan tanggapan negatif itu dan beliau hanya mahu menikmati detik bahagia bersama isterinya, Nur Atiqah Amiera Ghazali yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya.
“Saya fikir satu benda, minta maaflah bukan mereka yang bagi kita makan, jaga kita, jadi tak perlu nak dengar apa orang nak cakap dan tiada guna.
“Benda yang negatif kita buang, positif kita ambil,” ujarnya ketika ditemui FMT di kediamannya di Cheras.
Video persandingan Haziq dengan Nur Atiqah Amiera yang dilaporkan berlangsung di sebuah dewan di ibu negara pada 10 Sept lalu tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.

Dalam video itu, kelihatan Haziq bergerak di atas papan selaju, beriringan dengan isterinya menuju ke pelamin untuk bersanding dan acara memotong kek.
Pernah bercinta tak terfikir akan kahwin
Haziq yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata sebelum ini dia pernah menjalin hubungan cinta dengan beberapa wanita dan tidak pernah berharap ia akan sampai hingga ke jinjang pelamin.
Namun, melihat kesungguhan dan keikhlasan Amiera membawa hubungan mereka ke tahap yang lebih serius membuatkan Haziq yakin untuk mengambil wanita itu sebagai isterinya.
“Zaman bercinta itu ada, tapi tak pernah fikir sampai kahwin, sebab saya fikir kalau ‘couple’ (berpasangan) tiadanya nak kahwin sebab tak semua orang boleh terima.
“Tetapi semasa dengan dia (isteri), terus fikir pasal kahwin, jadi kalau betul nak kita teruskan sahajalah hubungan kita sampai ke perkahwinan,” kata Haziq sambil memaklumkan isterinya sudah mengetahui keadaan dirinya sebelum mereka mula berkenalan.

Haziq sempurna di mata Amiera
Mesra dipanggil Amiera, wanita berusia 29 tahun berkata dirinya mula mengenali Haziq menerusi platform di aplikasi media sosial dan tertarik dengan caranya melayani kedua ibu bapanya.
Ujarnya, suaminya itu telah banyak mengubah dirinya ke arah yang lebih baik, malah ketika menyuarakan keputusannya itu berkahwin dengan Haziq, keluarga menerima dengan hati terbuka.
“Tertarik dengan perangai dia, sebab masa hujung Januari itu pergi rumahnya, lepas itu nampak dia cakap dengan mak dia, cakap dengan ayah, orang cakap kalau nak tengok orang itu hormat perempuan tengok cara dia hormat mak ayahnya,” kata Amiera yang bernikah dengan Haziq pada 24 Julai lalu.

Harap Mira boleh jaga Haziq
Sementara itu, kakak ipar Haziq, Azlina Abdullah, meluahkan syukur Amiera sudi menerima adik dan keluarga besarnya, malah dia berharap agar wanita itu dapat menjaga Haziq dengan lebih baik.
“Apa-apa pun kita memang jaga haziq ‘extra’ (lebih) misalnya kalau ada apa-apa, kami harap pasangannya Amiera jaga dia lebih baik, lebih sempurna daripada kami ini,” katanya.