
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek, berkata parti itu “tak lalu” bekerjasama dengan PAS, yang mengkhianati mereka apabila menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, parti serpihan Umno.
“Keputusan PRU14 pedih, lebih pedih bila dikhianati selepas itu. Semua itu berada dalam Bersatu yang sedang berdakapan dengan PAS dalam satu selimut.
“Umno tak lalu untuk berada dalam satu selimut dengan orang yang pernah mengkhianatinya,” katanya kepada FMT.
Semalam, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata Umno akan mengulangi keputusan PRU14 jika kekal mahu bergerak solo.
Katanya, tindakan bergerak solo dilihat hanya lebih mementingkan diri daripada memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat.
Baru-baru ini Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS itu sendiri.
Pada 2 Ogos, Zahid “mengajak” PAS beradu kekuatan terlebih dulu pada PRU15 sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.
Dalam PRU14 pada 2018, Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang buat kali pertama sejak lebih 60 tahun memerintah negara kepada Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, parti itu kembali membentuk kerajaan bersama Bersatu dan PAS sebagai kerajaan PN susulan “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan PH runtuh selepas 22 bulan memerintah.
Bersatu dan PAS kemudiannya mendaftarkan PN secara rasmi pada 7 Ogos 2020, lima bulan selepas Kabinet Muhyiddin Yassin mentadbir Putrajaya.
Penubuhan gabungan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama Umno, menyebabkan parti itu merasa dikhianati PAS.
Sementara itu, seorang lagi ahli MKT Umno, Isham Jalil, menyindir PAS agar kekal bekerjasama dengan pengkhianat dan penipu manifesto, merujuk kepada Bersatu – jika mahu kalah teruk pada PRU15.
“Nak kalah teruk pergilah berganding dengan pengkhianat dan penipu manifesto. Sila pikul mereka dan kena getah,” katanya.