Pastikan dana baharu bagi orang India tidak terbazir, kata Ahli Parlimen

Pastikan dana baharu bagi orang India tidak terbazir, kata Ahli Parlimen

Tiga Ahli Parlimen pembangkang mengulas pengumuman PM mengenai penubuhan Yayasan Mitra dan peruntukan RM2 juta bagi pelajar India yang miskin.

Sejumlah RM25 juta sebelum ini diperuntukkan bagi program pembangunan keusahawanan komuniti India.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan daripada kerajaan tentang bagaimana ia akan memastikan langkah dan dana yang baru diumumkan untuk komuniti India tidak disalah guna.

“Isunya di sini ialah ketelusan, akauntabiliti, dan memastikan Yayasan Mitra dan dana RM2 juta untuk pelajar India yang miskin diterangkan,” kata Ahli Parlimen DAP Batu Kawan Kasthuri Patto.

Rakan separtinya, RSN Rayer, yang juga Ahli Parlimen Jelutong, meminta jaminan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa wang itu tidak akan disalah guna dan diseleweng.

ADUN Batu Uban Kumaresan Arumugam mempersoalkan mengapa Ismail meluluskan penubuhan Yayasan Mitra sedangkan Unit Transformasi Masyarakat India itu dibelenggu skandal penyelewengan yang membawa kepada penahanan 22 individu tahun lepas.

Ketiga-tiga mereka mengulas pengumuman Ismail semalam mengenai penubuhan Yayasan Mitra dan pemindahan unit itu daripada Kementerian Perpaduan Negara kepada Jabatan Perdana Menteri.

Ismail juga mengumumkan bahawa RM2 juta telah diperuntukkan bagi pelajar India yang miskin, manakala RM25 juta sebelum ini diperuntukkan bagi program pembangunan keusahawanan komuniti India.

Kasthuri mempersoalkan sama ada jumlah itu mencukupi.

“Niat perdana menteri untuk membantu komuniti India pada bila-bila masa dialu-alukan, (namun) perbelanjaan itu harus dibawa ke Parlimen untuk diteliti,” katanya.

Beliau berkata, sudah lebih setahun Ahli Parlimen meminta laporan mengenai Mitra, sejak skandal penyelewengan itu didedahkan, tetapi permintaan mereka tidak tertunai.

Rayer berkata, mekanisme pengawasan sepatutnya diwujudkan bagi memastikan Mitra menjawab kepada Parlimen.

Beliau menggesa Ismail untuk memberikan fakta dan angka tentang berapa ramai pelajar India, NGO dan usahawan telah mendapat manfaat daripada peruntukan tahunan RM100 juta bagi Mitra.

“Ini sesuatu yang PM harus jelaskan, malah sebelum membuat pengumuman bahawa dana baharu diperuntukkan,” katanya kepada FMT.

Kumaresan menyifatkan peruntukan yang diumumkan oleh Ismail itu sebagai “cenderahati sebelum pilihan raya”, tetapi ia tidak cukup untuk memujuk komuniti India mengundi Barisan Nasional (BN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.