Langgar kewajipan statutori, Majlis Peguam gagal semak keputusan Mahkamah Persekutuan

Langgar kewajipan statutori, Majlis Peguam gagal semak keputusan Mahkamah Persekutuan

Semakan untuk membenarkan usul Muhammad Shafee Abdullah dibahaskan pada Mesyuarat Agung tahunan Majlis Peguam berkait kes liwat Anwar Ibrahim.

Pada 2015, Muhammad Shafee Abdullah menfailkan sama terhadap Majlis Peguam, Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan VC George kerana menerbit dan mengemukakan usul untuk dibahaskan dalam AGM.
PUTRAJAYA:
Majlis Peguam gagal menyemak keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan bahawa ia telah melanggar kewajipan statutorinya apabila membenarkan usul mengenai kelakuan peguam Muhammad Shafee Abdullah dibahaskan pada Mesyuarat Agung tahunan (AGM) badan itu, ketika beliau bertindak sebagai timbalan pendakwa raya ad-hoc dalam kes liwat Anwar Ibrahim.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Majlis Peguam tanpa kos selepas memutuskan, bahawa mereka tidak berpuas hati ia adalah kes adalah kes yang sesuai bagi mewajarkan kuasa semakan dilaksanakan.

Turut bersidang Hasnah Mohammed Hashim dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Zabariah berkata, hujahan yang dikemukakan di hadapan mahkamah lebih menjurus kepada rayuan terhadap penemuan terdahulu Mahkamah Persekutuan dan panel semasa tidak mempunyai kuasa untuk mendengarnya.

“Bukan tanggungjawab panel ini untuk mempertimbang sama ada panel terdahulu telah atau tidak membuat keputusan yang betul berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu adalah berdasarkan pendapat dan tafsiran undang-undang.

Beliau berkata, tiada percanggahan dalam keputusan panel terdahulu, dalam menjawab persoalan undang-undang, telah menyelesaikan pertikaian serta isu utama iaitu pelanggaran kewajipan statutori Majlis Peguam dan isu lain tidak penting kepada rayuan itu.

Pada Mac 2015, Shafee menyaman Majlis Peguam, bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan VC George. Ketika itu, Thomas dan George adalah peguam.

Beliau mendakwa, Thomas telah menerbit dan mengemukakan usul pada 28 Feb 2015 untuk dibahaskan dalam AGM ke-69 majlis peguam pada 14 Mac tahun sama dan usul itu telah disokong oleh George.

Usul itu berkaitan kelakuan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan yang mendakwa peguam itu telah melanggar peraturan profesion perundangan yang melarang beliau mengiklankan diri.

Usul itu juga mendakwa Muhammad Shafee telah mengambil bahagian dalam jerayawara di seluruh negara dengan tujuan menghina seorang banduan yang telah disabitkan dan menarik perhatian kepada peranan beliau dalam sabitan terhadap Anwar.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Shafee dan peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 Okt 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Shafee dan memutuskan, beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Majlis Peguam serta memerintahkan agar kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

Dalam keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan, Hakim Abdul Rahman Sebli, berkata Majlis Peguam melakukan pelanggaran undang-undang yang jauh lebih serius apabila menyiarkan usul itu dalam laman sesawangnya dan membentangkan ia untuk resolusi pada AGM.

“Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga amat tidak adil serta begitu memprejudiskan perayu (Shafee) kerana ia terjumlah kepada prapenghakiman kesalahan beliau sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Tatatertib,” katanya.

Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau.

Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam Lambert Rasa-Ratnam mewakili Majlis Peguam manakala S Ambiga hadir bagi pihak Thomas dan Porres Royan bagi pihak George. Shafee pula mewakili dirinya sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.