
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengisytiharan harta ini turut melibatkan Ahli Parlimen dan juga anggota pentadbiran.
“Mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara oleh SPRM akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti dan integriti pentadbiran Kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ismail lagi, Akta 347 atau Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 akan digubal dengan menambah satu kod etika baharu.
Mengenai dana politik pula, Ismail berkata rang undang-undang (RUU) sumbangan politik akan dikawal selia oleh badan bebas dan pandangan daripada semua parti politik akan turut diambil kira sebelum pembentangannya pada sidang Parlimen yang akan datang.
“RUU ni akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat persekutuan dan negeri.
“Pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang,” kata Ismail.