Sabar dulu, kena kental raih sokongan di Pantai Timur’, pujuk Mat Sabu

Sabar dulu, kena kental raih sokongan di Pantai Timur’, pujuk Mat Sabu

Presiden Amanah sedar partinya berdepan kesukaran melebarkan sayap di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mohamad Sabu berkata pemimpin Amanah hari ini sedang mengalami perkara sama di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor ketika mereka bersama PAS. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Pemimpin dan ahli Amanah diminta bersabar dan terus bersikap kental walaupun sokongan diterima parti itu di Pantai Timur masih ketinggalan, kata presidennya, Mohamad Sabu.

Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu berkata, beliau menyedari ramai pemimpin dan ahli Amanah kecewa kerana kesukaran melebarkan sayap di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sambil memberi contoh ketika beliau dan rakan lain bersama PAS, Mohamad berkata, beliau pernah melalui situasi sama di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor apabila sokongan diterima amat sedikit.

“Apa yang dirasai pemimpin dan ahli Amanah di Pantai Timur hari ini, begitulah yang kami lalui sebelum ini di tiga negeri (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor). Di Negeri Sembilan, kadang-kadang penceramah lima orang yang datang mendengar tiga orang.

“Di Johor pula, ramai polis dari pendengar ceramah dan sesiapa bertanding di ketiga-tiga negeri, dianggap ‘national service’.

“Hilang deposit (wang pertaruhan) tu confirm (memang sah)…kalau lengkap deposit, kami takbir (bersyukur),” katanya menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional Amanah 2022.

Justeru, Mohamad berkata, beliau yakin pemimpin dan ahli Amanah di Pantai Timur berjiwa kental bagi membolehkan parti itu mendapat sokongan seperti di negeri lain.

“Insya-Allah, pusingan itu (sokongan) akan datang jika kita rajin tonjol kehebatan. Saya yakin, keadaan itu hanya sementara dan kegembiraan akan berlaku tidak lama lagi.

Semua calon Amanah yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) gagal bertapak di Pantai Timur, malah hampir keseluruhan mereka hilang wang pertaruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.