
Hanya mahu dikenali sebagai Nadiah Atiqah, 30. Beliau yang bertugas di sebuah pusat bimbingan milik badan bukan kerajaan berkata, cabaran utama dihadapinya adalah menarik perhatian anak istimewa terbabit.
Katanya, mereka sukar fokus dan kekal di tempat sama, walaupun hanya selama 15 minit yang memerlukan pendidik bertindak segera bagi mengembalikan kanak-kanak terbabit dalam “mood” belajar.

“Bagi memastikan mereka dapat mempelajari sesuatu, kami akan mencuba kaedah pembelajaran bersifat interaktif seperti permainan teka-teki atau akses kendiri menggunakan laman sesawang bagi menarik perhatian mereka,” katanya kepada FMT.
Di sebalik kesukaran itu, Nadia menjadikannya motivasi untuk menguatkan diri bagi terus berusaha membantu kanak-kanak terbabit menimba ilmu seperti insan biasa.
Bagi rakannya, Martin Kotze, 40, selaku guru bahasa Inggeris di pusat itu, sikap ingin tahunya berhubung cara menampung keperluan khas kanak-kanak disleksia, khususnya membaca, mendorongnya menjadi pendidik kumpulan berkenaan.

Katanya, pada mulanya, beliau menghadapi masalah berkomunikasi kerana ada di antara kanak-kanak yang tidak mahu bercakap atau gagal bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Biasanya, saya cuba memperbaiki perbendaharaan kata terlebih dahulu, sebelum beralih ke ayat penuh. Bagi mereka yang masih tidak dapat menguasainya, saya akan cuba berkomunikasi menerusi penggunaan bahasa Melayu terhad.
“Kadangkala saya dapatkan bantuan pelajar lain untuk memberi penerangan, cabaran ini tidak mematahkan semangat saya untuk mencurah ilmu,” katanya.

L Sasmitaa, 23, yang baru setahun menjadi pendidik berkata, kanak-kanak disleksia mempunyai keistimewaan tersendiri, contohnya dalam bidang muzik dan seni, meskipun ada segelintirnya tidak mengenal huruf, membaca atau menghidap gejala autisme.
“Mereka juga sentiasa memaparkan sifat peramah dan penyayang terhadap orang di sekeliling, ia menguatkan azam saya untuk terus mengajar mereka di sini.”
Sukar membaca, menulis dan mengira antara masalah dihadapi kanak-kanak disleksia disebabkan perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.