Buat siasatan bebas atas dakwaan ‘troll farm’ Meta, gesa Ahli Parlimen

Buat siasatan bebas atas dakwaan ‘troll farm’ Meta, gesa Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa peguam negara menjelaskan sama ada wajar bagi polis menyiasat dakwaan dikaitkan dengan pihak polis sendiri.

Pada 5 Ogos lalu, syarikat teknologi Meta mendakwa polis mungkin di sebalik rangkaian akaun dan halaman media sosial yang cuba memanipulasi wacana awam dalam negara ini.
PETALING JAYA:
Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa siasatan bebas dijalankan terhadap dakwaan syarikat teknologi Meta bahawa bahawa polis Malaysia di sebalik “troll farm”.

Ahli Parlimen Puchong itu menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan sama ada wajar dari segi undang-undang untuk polis menyiasat dakwaan itu yang dikaitkan dengan pihak polis sendiri.

“Peguam negara harus memberi arahan agar siasatan bebas dilancarkan terhadap dakwaan ini.

“Individu yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan polis dan dakwaan itu seharusnya memutuskan sama ada terdapat asas atau tidak ke atas dakwaan tersebut,” kata Gobind di Facebook.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu juga mempersoalkan sama ada kelewatan dalam siasatan mungkin disebabkan “siasatan dalaman yang mungkin terpalit dengan konflik.”

Walaupun sebelum ini Bukit Aman menafikan dakwaan dikemukakan Meta, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), meneliti dakwaan itu.

Pada Selasa, Bukit Aman berkata pihaknya masih menyiasat perkara itu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang kemudian mempersoalkan kenapa polis mengambil masa lama menyiasat dakwaan itu.

Beliau yang sebelum ini mencadangkan siasatan awam diketuai hakim atau bekas hakim ke atas perkara itu, berharap KPN akan bersetuju dengan cadangan itu untuk memulihkan kredibiliti pasukan polis di mata orang ramai.

Pada 5 Ogos lalu, Meta mendakwa polis mungkin di sebalik rangkaian akaun dan halaman media sosial yang cuba memanipulasi wacana awam dalam negara ini.

Syarikat itu yang memiliki Facebook dan Instagram berkata, ia memadam 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar “koordinasi perlakuan tidak sahih”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.