Boleh guna lesen D pandu jentera berat tak lebih 4,000kg, kata menteri

Boleh guna lesen D pandu jentera berat tak lebih 4,000kg, kata menteri

Wee Ka Siong berkata kebenaran khas itu juga bertujuan membantu pihak industri mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata kebenaran khas itu bagi meringankan beban dan memudahkan urusan pemain industri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi perniagaan domestik.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan memberikan kebenaran khas kepada pemandu kenderaan barangan “decontrolled” dengan berat tanpa muatan (BTM) melebihi 3,500kg tetapi tidak melebihi 4,000kg untuk memandunya menggunakan lesen memandu kelas D sahaja.

Menterinya, Wee Ka Siong, berkata kebenaran khas yang berkuat kuasa serta merta itu berikutan keluhan serta kesusahan yang dihadapi oleh pengusaha dan pemandu mengenai isu keperluan mempunyai kelas lesen memandu yang ditetapkan apabila memandu kenderaan berkenaan.

Katanya, ia bagi meringankan beban dan memudahkan urusan pemain industri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi perniagaan domestik.

“Kebenaran khas ini juga bertujuan membantu pihak industri dalam mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta memudahkan pemain industri mendapatkan pemandu yang mempunyai lesen memandu yang sah dalam kelas D terutamanya dalam fasa negara pulih daripada pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Beliau berharap kebenaran khas itu membantu memulih serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

“Ini juga akan membuka peluang pekerjaan tambahan kepada semua penduduk Malaysia dan mencapai hasrat dan objektif Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sekiranya had BTM kenderaan barangan “decontrolled” telah melebihi 4,000kg, pemandu adalah dikehendaki mempunyai lesen memandu kelas E bagi memandu kenderaan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.