Ahli Parlimen Bukit Gantang perlu akur keputusan parti, kata Bersatu

Ahli Parlimen Bukit Gantang perlu akur keputusan parti, kata Bersatu

PAS yang menjadi komponen Perikatan Nasional dikatakan mahu meletakkan naib presidennya Idris Ahmad bertanding di kawasan itu pada PRU15.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang yang disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dijangka menjadi rebutan susulan PAS dikatakan mahu meletakkan Idris Ahmad sebagai calonnya.
PETALING JAYA:
Semua penyandang kerusi daripada Bersatu perlu akur menerima keputusan parti termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, kata timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

“Sebagai ahli parti kita kena menerima keputusan parti dan saya amat yakin Syed Abu Hussin faham perkara ini.

“Banyak perkara yang boleh beliau lakukan bagi membantu parti. Kalau bukan sebagai calon pun, ada banyak perkara beliau boleh lakukan untuk kepentingan parti, agama dan negara,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurut laporan itu, Syed Abu Hussin, pada Jumaat, akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang atas tiket bebas jika tidak terpilih mewakili parti.

Kerusi itu dijangka menjadi rebutan selepas Naib Presiden PAS Idris Ahmad mahu kekal bertanding di situ selepas pernah memenanginya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pada PRU14, Syed Abu Hussin ketika itu bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,089 undi, menewaskan calon PKR, Khadri Khalid dan Idris. Idris meraih 16,052 undi, manakala Khadri mendapat 18,361 undi.

Syed Abu Hussin kemudian “melompat” ke Bersatu pada 6 Jun 2020, selepas mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas pada 27 Jun 2018.

Pada PRU13, Idris menang di Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 986 undi.

Faizal ketika mengulas lanjut berkata, Syed Abu Hussin akan diberikan peranan besar kerana jasanya kepada rakyat di kawasan Bukit Gantang.

“Saya percaya beliau banyak berjasa kepada penduduk kawasan, dan tentunya kita akan pastikan kalau dicalonkan atau tidak, setiap pemimpin ada peranan besar yang boleh dimainkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.