
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian kira-kira 7 pagi itu melibatkan kereta Perodua Myvi, van jenis Toyota Hiace, treler jenis Volvo dan kereta Toyota Corolla, yang dipercayai dari arah sama iaitu dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
Beliau berkata, mereka yang maut terdiri daripada pemandu kereta Toyota Corolla, Goh Tiong Seng berusia 50-an, penumpang hadapan Hong May Yin (50-an) dan dua anak mereka Goh Pei Chiew serta Goh Xuan Ting, keduanya berusia 20-an.
“Kereta Perodua Myvi dipercayai terlanggar lopak air dan hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke tengah jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan di tengah jalan. Ketika itu, sebuah van dari arah belakang cuba mengelak kereta Myvi, lalu terbabas dan berpusing sehingga melanggar besi pembahagi jalan dan terus ke bahu kiri jalan.
“Sebuah treler dari arah belakang di lorong kiri bertindak memperlahankan lorinya untuk mengelak melanggar van yang berada di bahu lorong kiri itu, bagaimanapun, kereta Toyota Corolla terlanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, Goh serta dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hong meninggal dunia di Hospital Kluang ketika mendapatkan rawatan,
Bagaimanapun pemandu Perodua Myvi dan pemandu lori treler tidak mengalami kecederaan manakala pemandu van Hiace yang cedera dibawa ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut.
“Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat,” kata beliau, dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.