Umno harus terbuka untuk kongsi kuasa selepas PRU15, kata Zaid

Umno harus terbuka untuk kongsi kuasa selepas PRU15, kata Zaid

Zaid Ibrahim terbuka dengan sebarang kerjasama antara Umno dengan parti lain bagi membangunkan negara ini selepas PRU15.

Semua pihak perlu menumpukan usaha memperkukuhkan negara dan meraikan setiap pandangan bagi membina kerajaan kuat dan stabil, kata Zaid Ibrahim.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim mahu Umno terbuka kepada menjalin kerjasama, malah berkongsi kuasa, jika perlu, dengan parti pembangkang lain selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam temu bual eksklusif, bekas menteri undang-undang itu berkata, Umno juga perlu “berubah” sekiranya mahu memenangi PRU, selain terbuka kepada kerjasama dengan parti di luar kerangka Barisan Nasional (BN).

“Saya lebih suka lepas pilihan raya, kita pilihlah siapa yang seolah-olah selari dengan kita dalam soal ekonomi, pelajaran, kesihatan misalnya.

“Jadi, kita bincanglah…kalau perlu, berkongsi kuasa atau berbincang dengan parti lain, apa salahnya? Boleh duduk bersama dalam kerajaan, itu lebih matang dan ikhlas kepada rakyat serta meyakinkan pelabur asing,” katanya.

Zaid turut membayangkan keperluan DAP mengikis sikap prejudisnya terhadap Umno sebagai parti rasuah kerana “percakapan seperti ini yang merosakkan Malaysia”.

“Kalau dia cakap macam itu, seolah-olah semua orang Melayu itu rasuah (dan) ini yang mengapi-apikan kemarahan orang Melayu,” katanya.

Sebelum ini, slogan “No Anwar, No DAP” bergema dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) pada Mac lalu, apabila Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti untuk menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP pada PRU15.

Beberapa pemimpin Umno berkata, pendirian itu tidak relevan susulan memorandum kerjasama ditandatangani Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan September lalu. Ismail adalah naib presiden Umno.

Bagaimanapun, Julai lalu, Ismail berkata, MoU itu tidak akan dilanjutkan dan PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa.

Zaid yang menyertai semula Umno baru-baru ini, mahukan parti itu mengambil pendekatan baharu untuk menawan hati rakyat pada PRU nanti.

“Bagi saya, Umno perlu berubah juga kalau nak menang pilihan raya. Salah satu punca kita kalah, kita lembab, kita lambat nak berubah. Kita tak dengar hasrat rakyat, jadi kita rasa selesa dengan slogan dan naratif lama.”

Di samping itu, katanya, semua pihak perlu memberi keutamaan untuk memperkukuhkan negara. Ini katanya, boleh dicapai jika parti politik bekerjasama dan meraikan setiap pandangan bagi membina kerajaan kuat dan stabil, selain menjaga keamanan serta perpaduan negara.

“Pada saya, prinsipnya begini, kalau kita boleh bekerjasama dengan matlamat membina kerajaan yang kuat dan stabil, kita dapat melaksanakan dasar yang boleh menolong rakyat.

“Kenapa kita cakap benda yang sama sejak merdeka sampai sekarang? Hak saya, hak kamu, bahasa saya, bahasa kamu, agama saya, agama kamu. Tidak boleh ke kita lari ke naratif memperkuatkan negara kita?” katanya.

Beliau menegaskan, keamanan dan perpaduan negara perlu dijaga kerana “negara ini tidak boleh kita majukan tanpa ‘konsensus’, tanpa semua kaum bersatu mencari jalan untuk kebaikan. Kita perlu ambil kira semua pandangan yang penting”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.