Kenyataan Hadi berubah setiap minggu, ada masalah dalaman, kata Mat Sabu

Kenyataan Hadi berubah setiap minggu, ada masalah dalaman, kata Mat Sabu

Ia susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa ramai pemimpin gabungan parti pembangkang tidak beriman dan tidak bermoral.

Mohamad Sabu (tengah) berkata apa saja kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi Awang tidak perlu diulang kerana ia akan berubah setiap minggu.
SEREMBAN:
Presiden Amanah Mohamad Sabu menyindir Abdul Hadi Awang dengan mendakwa presiden PAS itu mempunyai masalah dalaman (pemikiran) susulan kenyataannya bahawa ramai pemimpin gabungan parti pembangkang tidak beriman dan tidak bermoral.

Berikutan itu, Mohamad berkata, apa saja kenyataan dikeluarkan Hadi tidak perlu diulang kerana ia akan “berubah setiap minggu”.

“Saya pun setuju dengan jawapan (Dr) Mahathir. Dulu dia (Hadi) kata Umno tu kafir, sekarang dia berkawan dengan Umno, maka dia pun kafir juga.

“Tak perlu kita ulang kerana presiden PAS ini, (pandangan) dia akan berubah setiap minggu. Minggu depan kita tak tahu apa pandangan dia. Saya rasa, dia hadapi masalah dalaman (pemikiran),” katanya pada sidang media Konvensyen Amanah Nasional.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tulisan Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS baru-baru ini, apabila menegaskan, partinya tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.

Konvensyen Nasional 2022 Amanah bermula semalam hingga esok (Ahad).

Hadi mendakwa, ini kerana ramai dalam kalangan pimpinan PH tidak beriman dan tidak bermoral.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu lagi, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan ‘kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau bersimpati dengan Hadi dan tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan Hadi dan mendakwa, PAS kehabisan modal selain menjual agama untuk kepentingan politik.

“Apa yang dia ada dekat Kelantan, Kedah? Pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat. Dia nak pergi kementerian, kementerian yang dia pegang, apa prestasinya.

“Modal dia adalah kafirkan semua orang, semua orang tak Islamik, semua ni tak bermoral, kamu sajalah yang baik tetapi dari sudut apa yang kita lihat, jauh apa yang dikatakan dan diamalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.