Halang rakyat ke sekolah antarabangsa adalah dasar baik, kata pemimpin PKR

Halang rakyat ke sekolah antarabangsa adalah dasar baik, kata pemimpin PKR

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata trend semakin ramai ibu bapa kelas pertengahan menghantar anak ke sekolah antarabangsa hanya akan menyebabkan jurang sistem pendidikan kian melebar.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan tiada pilihan selain menjadikan sekolah kebangsaan berjaya dan meyakinkan ibu bapa untuk hantar anak ke sana.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan kebangsaan untuk meyakinkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kebangsaan berbanding sekolah antarabangsa.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, trend semakin ramai ibu bapa kelas pertengahan menghantar anak ke sekolah antarabangsa hanya akan menyebabkan jurang sistem pendidikan di Malaysia kian melebar, terutama jurang antara kaum.

“Ketika zaman saya, kerajaan tidak benarkan kebanyakan rakyat ke sekolah antarabangsa. Ini mungkin pandangan yang tak popular, tapi saya rasa ia dasar yang baik sebab jika anda ke sekolah swasta, anda tetap…melalui sistem pendidikan kebangsaan.

“Saya tak salahkan ibu bapa yang hantar anak (ke sekolah antarabangsa)…tetapi ia memecahkan sistem (pendidikan).

“Kemudian sekolah kebangsaan kian menjadi satu etnik dan hanya dipenuhi satu kaum,” katanya dalam forum berkenaan pendidikan sempena Hari Malaysia di Kuala Lumpur, menurut Malaysiakini.

Nik Nazmi berkata, ia tidak bermakna sekolah antarabangsa perlu ditutup, tetapi beliau hanya membangkitkan beberapa isu dalam sistem pendidikan.

“Kerajaan tiada pilihan selain menjadikan sekolah kebangsaan berjaya dan meyakinkan ibu bapa untuk kembali hantar anak ke sana,” katanya.

Mengimbas pengalamannya membesar di Petaling Jaya, Nik Nazmi berkata dia belajar di sekolah kebangsaan dan memiliki rakan daripada pelbagai latar belakang.

Namun, beliau berkata sekolah lamanya, Sekolah Kebangsaan La Salle di Petaling Jaya kini diduduki 95% pelajar Melayu.

“Sebanyak 95% pelajar di sekolah mubaligh di Petaling Jaya kini adalah Melayu. Ini masalah utama yang kita hadapi di mana kita kian terpisah.

“Malah guru juga kian menjadi satu kaum sahaja. Masalah ini kian memburuk dan anda hanya berada dalam lingkaran sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Nik Nazmi tidak percaya sekolah vernakular di Malaysia akan ditutup, walaupun ia ada kala menjadi isu politik yang hangat.

Katanya, ini kerana tiada ahli politik yang akan berani berbuat demikian memandangkan kebanyakan ibu bapa Cina dan malah sebilangan ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.