Samy Vellu habiskan detik terakhir dengan riang, kata anak

Samy Vellu habiskan detik terakhir dengan riang, kata anak

Anaknya, S Vell Paari berkata keluarganya tersentuh apabila ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Lim Guan Eng (dua dari kanan) dan pemimpin DAP lain hadir mengucapkan takziah kepada S Vell Paari (dua dari kiri) susulan kematian bapanya, S Samy Vellu.
KUALA LUMPUR:
Bekas presiden MIC, S Samy Vellu, menghabiskan masa-masa terakhir beliau bersama keluarga dengan riang sebelum meninggal dunia pagi tadi, kata anaknya, S Vell Paari.

Berkongsi detik-detik itu, Vell Paari berkata, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 6 pagi tadi, ayahnya sempat meluangkan masa bersama keluarga memandangkan beliau banyak berada di rumah, sejak Isnin.

“Angin beliau agak baik dan riang, malam tadi katanya beliau teringin makan nasi goreng dan saya sempat masak macam yang dia hendak. Selepas 10 malam katanya beliau letih dan lebih baik kami balik,” katanya mengenangkan kerenah mendiang ketika ditemui di kediaman Samy Vellu.

Vell Paari juga berkata, keluarganya tersentuh apabila ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

“Hari ini, kerana jasanya kepada masyarakat, pemergian beliau merupakan pembuka mata kepada betapa banyak kehidupan yang telah disentuhnya.

“Beliau adalah individu yang sanggup meredah apa jua halangan. Beliau sezaman dengan (Dr) Mahathir (Mohamad) dan corak kepimpinan mereka adalah berbeza kerana mereka berusaha memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksana sebaik mungkin,” katanya.

Rata-rata pemimpin menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang tiada galang gantinya dan pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat negara.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata Samy Vellu adalah contoh pemimpin yang tidak mengenal perbezaan kaum dalam perjuangannya dan perlu dicontohi generasi akan datang.

“Kehilangan besar bagi saya secara peribadi yang mengenali Tun sejak arwah ayah saya menjadi perdana menteri sehingga saya sendiri berada dalam Kabinet bersama mendiang,” katanya ketika hadir memberi penghormatan terakhir di kediaman Samy Vellu.

Menyuarakan pandangan sama, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, berkata mendiang telah mencorak landskap pembangunan negara melalui khidmat beliau sebagai menteri kerja raya.

Pengerusi Bernama Ras Adiba Radzi turut berkongsi kenangan indah mengenali mendiang, terutama ketika bertugas sebagai wartawan.

Beliau berkata, walaupun memiliki keperibadian serius, Samy Vellu sebenarnya adalah seorang tokoh yang suka berseloroh.

“Ada sekali tu di Parlimen, kami bergegas untuk mendapatkan berita. Beliau memberhentikan kami, kata jangan lari-lari takut jatuh, saya ada sini, saya tak lari mana pun,” katanya.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula berkata, mendiang adalah seorang pemimpin yang tidak mengira perbezaan politik dalam menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.

“Meskipun berbeza pegangan politik, kami tidak pernah meragui bahawa beliau sememangnya seorang pemimpin yang begitu mengambil berat kebajikan semua pihak. Mendiang mengambil berat tentang banyak perkara, kami sentiasa menghargai apa yang beliau lakukan meskipun kami di pihak yang berlawanan.”

“Dari satu segi, pemergian beliau adalah pemergian satu era. Kami mendoakan agar beliau bersemadi dengan tenang di sana,” katanya.

Mayat mendiang Samy Vellu akan dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras pada 4 petang, esok, untuk disempurnakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.