
Harga produk import akan meningkat apabila nilai ringgit merosot, jelas profesor ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng.
Hal ini akan menyebabkan pengguna beralih kepada produk lebih murah keluaran dalam negara, katanya.
Memandangkan negara bergantung kepada import makanan, Yeah berkata, rakyat Malaysia harus “bersiap sedia” menghadapi kenaikan inflasi.
“Itu (perkara) terbaik yang boleh kita lakukan. Kos import yang lebih tinggi akan mendorong usaha untuk mendapatkan produk yang lebih murah, terutamanya keluaran tempatan,” katanya kepada FMT Business.
Ringgit susut kepada 4.5265/4.5285 apabila dagangan berakhir semalam, mencatatkan paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun.
Kebergantungan negara kepada import makanan meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun ini. Bil import makanan meningkat kepada RM63 bilion tahun lepas, daripada RM55.4 bilion pada 2020 dan RM51.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Bil dijangka lebih tinggi tahun ini, memandangkan hanya dalam suku pertama, Malaysia sudah mengimport produk makanan bernilai RM17.8 bilion.
Dalam laporan Bernama pada Selasa, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa dipetik sebagai berkata, harga makanan import seperti daging, sayur-sayuran dan ikan telah meningkat sebanyak 62%.
Beliau berkata, kebergantungan berterusan terhadap import menggunakan dolar AS akan menjadikan Malaysia rentan kepada inflasi.
Inflasi makanan di Malaysia adalah pada 5.2% pada Mei, 6.1% pada Jun dan 6.9% pada Julai.
Seorang lagi ahli ekonomi, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak, berkata, walaupun ringgit yang lemah akan menguntungkan pengeksport, ia berita buruk bagi rata-rata rakyat Malaysia.
Lebih 80% daripada semua barangan yang digunakan di Malaysia, termasuk bahan mentah yang digunakan oleh pengeluar, diimport, katanya.
“Bagi pengguna biasa seperti kita, kemerosotan ringgit berbanding dolar akan diterjemahkan kepada harga barangan import yang lebih tinggi,” katanya kepada FMT Business.
“(Keadaan) khususnya menjadi buruk jika kita mengimport bahan mentah dan menjual produk di dalam negara, seperti cara kita mengimport gandum dan menghasilkan roti,” katanya.
“Jadi sama ada pengeluar perlu mengurangkan margin keuntungan atau menaikkan harga mereka, (kedua-dua pilihan) mempunyai hadnya,” tambahnya.
Bagaimanapun, Paolo Casadio, seorang ahli ekonomi di HELP University, menawarkan pandangan yang sangat berbeza.
Beliau berkata “tumpuan berlebihan” pada dolar AS dan pada “faktor jangka pendek” sebagai sebab ringgit merosot berbanding dolar telah mengakibatkan wujudnya beberapa “analisis berat sebelah”.
“Masalah sebenar ialah kekuatan dolar, bukan kelemahan ringgit. Dolar AS mengukuh berikutan langkah Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah untuk mengurangkan tekanan inflasi,” katanya kepada FMT Business.
“Kita boleh dengan munasabah meramalkan keadaan akan berubah sebelum akhir tahun,” katanya.
Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75% pada Julai, kali kedua berturut-turut ia meningkatkan kadar dengan margin yang begitu luas. Kenaikan itu juga adalah yang kali keempat tahun ini.
Casadio berkata, cara terbaik untuk membendung kejatuhan ringgit berbanding dolar AS dalam jangka pendek hingga sederhana adalah kerajaan, bersama penyelarasan dengan bank pusat, menurunkan inflasi dan mengekalkan ekonomi yang dinamik.
Ringgit juga ditutup rendah berbanding dolar Singapura, yen Jepun, euro dan pound Britain.