
Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan berkata, rampasan dilakukan ketika serbuan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap satu kontena bersaiz 12.1m di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, 10 Sept lalu.
“Dalam serbuan itu, dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan teh dibaluti aluminium dan disembunyikan dalam mesin moulding industri berkapasiti besar, yang kami percaya ini merupakan taktik terbaharu sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kontena tersebut adalah untuk dieksport ke Australia, namun pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi.
Menurut Zazuli, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang merupakan wakil kepada pemilik kontena tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
“Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.