Jasad mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar selamat disemadikan

Jasad mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar selamat disemadikan

Pengebumian Goi Zhen Feng dilakukan menerusi upacara pembakaran di Bangkok hari ini.

Goi Chee Kong dan isterinya tiba di Bangkok untuk mencari anaknya sebelum dilaporkan hilang, Mei lalu. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Goi Zhen Feng, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan meninggal dunia pada 11 Mei di Thailand, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di sini pada Khamis.

Upacara pembakaran dilaksanakan di Kuil Hin Kong di Si Racha, kira-kira 120km dari tenggara Bangkok, dan dihadiri ayahnya Chee Kong, 50, dan ibunya berusia 45 tahun.

Turut hadir ADUN Teruntum, Sim Chon Siang, yang membantu Chee Kong di Bangkok sejak pasangan itu tiba di sini pada 30 Ogos.

Sim berkata, abu Zhen Feng dijangka dibawa “pulang” ke tanah air esok.

“Goi (Chee Kong) dan isterinya akan pulang ke Malaysia esok, serta membawa abu anak mereka. Satu upacara dijangka diadakan di Ipoh, Perak Ahad ini,” katanya kepada Bernama.

Pasangan suami isteri itu tiba di Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak lelaki mereka yang dikatakan sakit dan sedang menerima rawatan di Hospital Mae Sot.

Bagaimanapun, mereka dimaklumkan bahawa Zhen Feng, 25, telah pun meninggal dunia pada 2 pagi, 11 Mei lalu.

Pasangan itu akhirnya mendapat tahu anak mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar.

Pasangan itu juga dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya telah didera sebelum dihantar ke hospital oleh sindiket penipuan pekerjaan pada 11 April, dengan menggunakan pasport dan identiti palsu “Mun Jun Hong”.

Mangsa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital itu, dan meninggal dunia (pada 11 Mei).

Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan Si Racha di wilayah Chonburi dengan menggunakan nama palsu.

Pada 2 Sept, keluarga mangsa terpaksa mengumpul dana untuk membayar bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum mereka dibenarkan memperoleh sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA, melakukan upacara pembakaran mayat dan membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.

Pada 13 Sept lalu, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti sebenar Goi Zhen Feng menerusi perbandingan DNA bapanya Chee Kong adalah 99.99% padan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.