
Beliau berkata, perkara ini antara yang dibincangkan dalam rundingan pembahagian kerusi bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan kerusi mana yang akan ditandingi itu, sebaliknya hanya memaklumkan, mereka masih menunggu hasil keseluruhan rundingan.
“Antara yang dibincangkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu. DAP berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi tersebut. Kita akan tunggu hasil keseluruhan (rundingan),” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Mengulas lanjut, Sim turut mengesahkan bahawa PH telah menyelesaikan pembahagian kerusi di lima negeri bagi menghadapi PRU15.
“Pembahagian kerusi sedang dalam perbincangan tapi sehingga minggu lepas kita sudah selesai empat hingga lima negeri,” katanya.
“Kita sasarkan untuk selesaikan semua negeri menjelang hujung bulan ini, mesyuarat yang telah diadakan berlangsung dengan baik dan lancar.”
Dalam perkembangan lain, Sim berkata, DAP akan mengadakan kongres khas untuk meminda beberapa perkara dalam Perlembagaan DAP.
Katanya, kongres di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Sept ini bertujuan menyelaraskan perlembagaan DAP dengan prinsip anti-lompat yang diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini
“Di kongres ini juga, DAP akan melancarkan jentera PRU15 yang akan datang. Seramai 3,672 orang perwakilan yang layak menghadiri kongres khas ini,” katanya.