
Beliau membuat desakan itu selepas Zafrul dilaporkan berkata, beliau “tumpang” gembira dengan pengekport kerana nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.
“Jadi, jangan tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia…depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif,” kata Zafrul dalam hantaran video di laman media sosial beliau.
Menyanggah perkara itu, Lee berkata nilai ringgit yang lemah menyebabkan jutaan rakyat negara ini terpaksa menanggung kos makanan yang lebih tinggi.
“Dalam keadaan ringgit makin menguncup, hampir pasti susu, tepung gandum, daging lembu, bahkan ubi kentang akan menjadi lebih mahal buat rakyat biasa.
“Dalam hal ini Tengku Zafrul juga cuba mengelirukan rakyat. Kalau kejatuhan nilai mata wang sesebuah negara adalah sesuatu yang baik, sepatutnya pengeksport di Sri Lanka, Zimbabwe dan Sudan Selatan menjadi orang yang paling gembira di dunia ini.
“Tapi tentunya mereka tidak gembira sangat. Ini adalah kerana pertama, pengeksport perlu membeli barangan input untuk diproses dengan harga yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Lee berkata, penyusutan ringgit juga menyebabkan pekerja asing berkemahiran tinggi meminta kenaikan gaji atau meninggalkan Malaysia kerana nilai gaji yang semakin mengecil.
“Kelemahan Ringgit tidak membantu kita untuk menarik dan menyimpan bakat-bakat rakyat Malaysia dan luar negara,” katanya.
Malah, katanya, kelemahan dan kemerosotan nilai mata wang secara berterusan akan menyebabkan pelaburan asing lari ke negara serantau lain.
“Siapakah yang berminat untuk datang ke Malaysia sekiranya aset mereka makin mengecil saban tahun?” soalnya.
Beliau juga menyelar Zafrul yang hanya tertumpu kepada beberapa petunjuk ekonomi terkini yang positif, tanpa memperjelaskan masalah struktur ekonomi yang kian lemah.
“Kehidupan rakyat kita sekarang jauh lebih susah berbanding dengan 20 tahun yang lepas, dan mengapakah graduan kita tidak mendapat pekerjaan dan gaji yang setimpal dengan usaha mereka,” katanya.