Pemandu khidmat penghantaran mengadu layanan tak adil

Pemandu khidmat penghantaran mengadu layanan tak adil

Mereka berkata, rungutan mengenai amalan tidak adil dan situasi teruk itu tidak diendahkan.

Pemandu perkhidmatan penghantaran berkata, pemandu tidak dibayar balik apabila mereka tiba di tempat pengambilan, namun dimaklumkan pelanggan sudah membatalkan pesanan. (Gambar Pinterest)
PETALING JAYA:
Pemandu untuk sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran mendakwa dianiaya dan dilayan secara tidak adil seperti dinafikan pembayaran balik untuk pesanan yang dibatalkan pelanggan.

Michael Januarius, jurucakap tidak rasmi mewakili beberapa pemandu berkata, syarikat itu mengubah syarat dan perjanjian, yang hanya tertera dalam talian, beberapa kali tanpa memberitahu mereka.

Beberapa terma dan syarat didapati tidak jelas sehingga menyukarkan mereka untuk menolak permintaan pelanggan kerana mereka berisiko disenaraihitamkan oleh syarikat, selepas apa yang disifatkannya sebagai “aduan remeh pelanggan”.

Katanya, walaupun pemandu dikehendaki menghantar terus ke pintu rumah, “ada kalanya pelanggan meminta pemandu membawa barang ke dapur atau bilik tidur, sebagai contoh, dan mengharapkan ia dibuat secara percuma”.

Menurutnya, beberapa pemandu terpaksa membawa bungkusan berat menaiki tangga.

Katanya, pemandu tidak dibayar balik apabila mereka tiba di tempat pengambilan dan hanya dimaklumkan pelanggan sudah membatalkan pesanan. Januarius berkata, dia belum menerima bayaran balik untuk tiga pesanan dibatalkan yang berjumlah RM90.

FMT sedang menunggu respons syarikat berkenaan. Kira-kira 90 pemandu syarikat itu yang dikenali sebagai rakan kongsi dikatakan tidak berpuas hati dengan keadaan kerja mereka.

Prabakar Murugiah, yang berkhidmat dengan syarikat itu sejak awal 2020, mendakwa syarikat itu pernah menyemak semula kadar penghantarannya tanpa memberitahu pemandu.

“Bila saya hubungi perkhidmatan pelanggan mereka, mereka tak dapat beri alasan mengapa pemandu tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Apa yang mereka boleh katakan, ia adalah sistem penentuan harga padanan pintar baharu yang kami tidak pernah pun setuju.”

Murugiah berkata, kos perjalanan, seperti tol, juga terpaksa ditanggung pemandu yang boleh mencecah jumlah tinggi. “Akhirnya, yang tinggal hanya sikit untuk pemandu.”

Apabila beliau mencadangkan pelanggan membayar kadar tol itu, syarikat terbabit memberitahunya untuk mengambil jalan tiada tol.

“Tapi komisen saya tetap berdasarkan kadar untuk laluan paling pendek. Jadi akhirnya, komisen saya tiada nilai,” katanya sambil menambah beliau sudah membuat aduan kepada Kementerian Pengangkutan mengenai isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.