
“OPR kekal akomodatif. (Kadarnya) meningkat, tetapi masih lebih rendah daripada (tempoh) pra-wabak,” kata Tengku Zafrul pada sidang media di Persidangan Perbankan Malaysia 2022.
Beliau menjawab kritikan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng semalam terhadap Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang mendakwanya tidak berkesan, memetik kenaikan berterusan harga barangan.
Lim, yang juga pengerusi DAP, bertanya sama ada Bank Negara (BNM) akan menaikkan OPR jika inflasi terkawal.
Pada 8 Sept, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%, kenaikan kali ketiga berturut-turut oleh bank pusat itu.
Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi berada pada 2.8% dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan mana-mana negara lain di rantau ini, apatah lagi di pasaran maju, katanya.
Beliau juga berkata, peningkatan harga barangan wajar berlaku apabila ekonomi berkembang, disebabkan permintaan yang lebih tinggi dan “terpendam”.
“Tidak patut terlalu fokus pada agenda tertentu dengan memilih satu angka tanpa mengira konteks,” katanya.
Apabila ditanya mengenai cadangan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin agar moratorium pinjaman khas diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Tengku Zafrul berkata, moratorium menyeluruh tidak akan berhasil.
Hal ini kerana bank perlu menyokong perniagaan yang boleh bertahan, katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi disokong oleh beberapa faktor, seperti pertumbuhan pinjaman, menunjukkan bank telah mula lebih banyak memberi pinjaman berbanding dengan sebelum wabak, termasuk kepada PKS.
Beliau memberi jaminan bahawa bank akan menyediakan moratorium kepada syarikat yang memerlukannya, namun terpulang kepada institusi kewangan untuk membuat keputusan.
“Bank-bank bukan milik kerajaan, tetapi kita boleh menggalakkan dasar yang membantu (rakyat),” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan moratorium khas itu akan dibincangkan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.
Muhyiddin, yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), menggesa bank menawarkan moratorium pinjaman kepada PKS, terutama yang masih bergelut untuk pulih selepas wabak.