
Dalam keputusan pada September 2020 itu, MyCC berkata PIAM dan 22 ahlinya melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 di mana pihak-pihak itu memeterai perjanjian mengenai permohonan diskaun dagangan ke atas harga alat ganti automotif dan kadar buruh setiap jam untuk pembaikan kenderaan bermotor oleh bengkel bawah Skim Pembaiki Diluluskan PIAM (PARS).
Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai keputusan itu menyatakan bahawa selain mengenakan penalti kewangan, MyCC turut mengarahkan pihak-pihak itu untuk berhenti melaksanakan diskaun dagangan alat ganti dan kadar buruh setiap jam yang dipersetujui, serta untuk diskaun dan kadar tersebut ditentukan secara bebas oleh penanggung insurans dan bengkel.
Dalam laporan 8 Sept oleh The Edge Markets, tiga anggota CAT sebulat suara membenarkan rayuan PIAM dan 22 anggotanya, mendapati MyCC telah melakukan kesilapan asas dalam penemuannya mengenai undang-undang dan fakta.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCC Iskandar Ismail berkata, pihaknya sedang menganalisis dan mempertimbangkan pilihannya, termasuk memfailkan semakan kehakiman.
“Ini kerana keputusan CAT mungkin menimbulkan ambiguiti mengenai bagaimana undang-undang berhubung perjanjian anti-persaingan melalui persatuan ditafsirkan,” katanya dalam kenyataan.
Iskandar berkata, fakta bahawa hasil tafsiran undang-undang itu mempengaruhi kuasa pengawal selia lain – dalam hal ini, BNM – tidak dapat menghalang MyCC daripada menjalankan tugasnya.
MyCC menekankan bahawa CAT berpendapat bahawa MyCC, mengikut sifat dan fungsinya sebagai badan separa kehakiman, diberi kuasa untuk mentafsir sesuatu peruntukan undang-undang, sama ada ia relevan atau sebaliknya.
Ia juga berkata, perlu diambil perhatian bahawa pada 2017 dan sekali lagi pada 2020, kedua-dua BNM dan PIAM telah menegaskan bahawa perjanjian yang melanggar itu dibuat berdasarkan arahan BNM.
Pada 2020, BNM berkata, aturan itu dilaksanakan melalui pemudahan dan arahan oleh BNM kepada penanggung insurans am untuk menangani pertikaian antara bengkel dan syarikat insurans am yang memberi kesan buruk kepada pengguna.
BNM berkata, ini berikutan kelewatan yang berlarutan dan perselisihan faham mengenai pembayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan bermotor.