‘Formula sama, jenama lain’, KJ kata dakwaan tukar ubat Najib bukan gambaran sebenar

‘Formula sama, jenama lain’, KJ kata dakwaan tukar ubat Najib bukan gambaran sebenar

Menteri kesihatan berkata tuduhan ubat ditukar seolah-olah memberi gambaran bahawa ubat berbeza adalah tidak benar.

Khairy Jamaluddin melancarkan laporan ‘Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership’ di Kementerian Kesihatan.
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan ubat bekas perdana menteri Najib Razak telah ditukar daripada ubat biasa semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau menjawab dakwaan pegawai khas Najib, Mukhlis Maghrib dan ahli keluarga Ahli Parlimen Pekan itu semalam tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Najib diberikan ubat (untuk) tekanan darah tinggi. Tetapi diberi ubat generik. Ubat yang sama.

“Dia dulu ambil ubat ‘original’ sebab dia beli daripada hospital swasta. Bila dirujuk di HKL, kita ada ubat formula sama yang diberi di hospital kerajaan. Ubat itu sama. Formula sama. Tetapi bentuk generik,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan “Record Breaking Covid-19 Vaccination: Public-Private Partnership” di Dewan Serbaguna KKM.

Khairy berkata, tuduhan ubat ditukar seolah-olah memberi gambaran bahawa ubat berbeza adalah tidak benar.

“Ubat generik ini kandungan sama. Penjelasan ini penting kerana terdapat tuduhan daripada pegawai dan ahli keluarga Najib,” katanya.

Semalam, keluarga Najib meminta kerajaan membenarkan bekas perdana menteri itu diberikan rawatan perubatan sewajarnya selepas mengalami masalah ulser dalam perut, baru-baru ini.

Mukhlis berkata, Najib pernah dimasukkan ke hospital termasuk dimasukkan ke unit rawatan rapi sebelum ini berhubung masalah sama.

Beliau mendakwa doktor di HKL membuat biopsi yang menemukan pendarahan berlaku dengan beberapa ulser terpaksa ‘diklip’ untuk menghentikan pendarahan, namun permohonan Najib untuk melakukan pemerhatian dinafikan dengan doktor membenarkannya keluar (discaj).

Mukhlis juga mendakwa ubat-ubatan Najib ditukar daripada ubat biasa yang diambilnya selama bertahun-tahun, sekali gus menyebabkan tekanan darahnya meningkat.

Semua banduan diberi rawatan terbaik termasuk Najib

Dalam pada itu, Khairy berkata semua banduan di penjara termasuk Najib akan diberikan rawatan terbaik.

Beliau juga berkata saranan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam supaya Najib diberi rawatan terbaik akan diikuti.

“Kita akan berikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada semua banduan. Bukan hanya Najib. Ini memang tugas KKM. Kita bagi rawatan terbaik kepada semua,” katanya.

Katanya, Najib buat masa ini dirawat di HKL dan bukan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata prosedur untuk banduan penjara dirujuk di hospital kerajaan dan Najib perlu dirujuk di HKL.

“Saya dimaklumkan Najib dalam keadaan sihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.