Buktikan DAP cetus kebimbangan jawatan ketua menteri, MCA diberitahu

Buktikan DAP cetus kebimbangan jawatan ketua menteri, MCA diberitahu

Ketua MCA negeri Tan Teik Cheng sebelum ini menuduh DAP seolah-olah cuba memberi bayangan bahawa jika BN mengambil alih, orang Umno akan menjadi ketua menteri.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri) menuntut ketua MCA negeri Tan Teik Cheng memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.
GEORGE TOWN:
MCA diminta membuktikan bahawa DAP menggesa masyarakat berbangsa Cina mengundi mereka untuk memastikan jawatan ketua menteri Pulau Pinang kekal dipegang oleh orang Cina.

Mempertikaikan dakwaan itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menuntut ketua MCA negeri Tan Teik Cheng memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

“Siapa dalam DAP yang sebut perkara ini? Minta beliau (Tan) beritahu siapa (yang sebut),” kata Chow ketika ditemui pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) hari ini.

Pada Sabtu, Tan mendakwa bahawa DAP menjalankan skim “kejam dan tidak bertanggungjawab” untuk meraih undi Cina dengan mencetuskan kebimbangan bahawa jawatan ketua menteri akan diberikan kepada orang bukan Cina.

Beliau berkata, DAP seolah-olah cuba memberi bayangan bahawa jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih Pulau Pinang, ketua menteri akan digantikan oleh seseorang daripada Umno.

Semua ketua menteri Pulau Pinang setakat ini berbangsa Cina.

Terdahulu, Chow, yang kini ketua menteri, menyampaikan ucaptama pada WCIT ke-26 di Pusat Konvensyen SPICE Setia, di mana 4,000 perwakilan dan 200 penceramah akan berkumpul dalam tempoh tiga hari akan datang.

Malaysia kali terakhir menganjurkan acara global itu pada 2008. Acara itu sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi ditunda ke tahun ini disebabkan wabak Covid-19.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Fuzi Razak, dan dihadiri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serta menteri-menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.