
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pelanggaran dengan lori terbabit mengakibatkan mereka tercampak ke laluan bertentangan sebelum sebuah kenderaan lain merempuh kedua-dua mangsa.
Mangsa yang mempunyai talian persaudaraan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan parah di kepala.
Mereka sebelum itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan keluar simpang dari arah Parit 7B menghala jalan besar Sungai Manik.
Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata motosikal mangsa dilanggar lori dipandu lelaki, 43, yang datang dari arah Langkap ke Teluk Intan dan pelanggaran menyebabkan murid Tahun Lima itu tercampak ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki 29 tahun yang tidak sempat mengelak kemudian melanggar kedua-dua mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Hospital Teluk Intan, manakala dua pemandu tidak cedera,” lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa adalah sepupu dengan seorang menetap dan bersekolah di Klang, Selangor pulang bercuti, manakala seorang lagi berasal dari Labu Kubong, Chenderong Balai.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.