DNA sahkan mangsa tipu kerja meninggal dunia di Mae Sot adalah Zhen Feng

DNA sahkan mangsa tipu kerja meninggal dunia di Mae Sot adalah Zhen Feng

Ujian DNA diterima petang tadi menunjukkan 99.99% berpadanan dengan Goi Chee Kong bapa kandung kepada Zhen Feng.

Goi Chee Kong dan isteri yang tiba di Bangkok awal bulan ini untuk mencari Zhen Feng sebelum dimaklumkan kematian anak sulungnya itu di Hospital Mae Sot, Thailand. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan lelaki yang meninggal dunia di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar pada Mei lalu adalah warga Malaysia Goi Zhen Feng, yang dipercayai mangsa sindiket penipuan kerja.

Keputusan ujian DNA yang diterima pada kira-kira 4 petang hari ini menunjukkan Goi Chee Kong adalah 99.99% bapa kandung (biological father) kepada mangsa.

ADUN Teruntum, Sim Chon Siang yang membantu Chee Kong di Bangkok berkata, dengan keputusan ujian DNA itu, pihak keluarga akan membuat permohonan penukaran nama mayat itu ke nama sebenar – Zhen Feng.

“Selepas itu, upacara pembakaran mayat akan diadakan.

“Kami jangkakan abu mayat mangsa akan dapat dibawa pulang oleh ibu bapa mendiang ke kediaman mereka di Ipoh pada Jumaat atau Sabtu ini,” katanya kepada Bernama.

Pada September 4, Bernama melaporkan Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun ke Bangkok untuk mencari anak lelaki sulung mereka yang hilang.

Namun, pasangan suami isteri yang tiba di Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak lelaki mereka yang dikatakan sakit dan menerima rawatan di Hospital Mae Sot, dimaklumkan Zen Feng telah meninggal dunia 11 Mei lalu.

Lebih menyedihkan apabila mereka mendapat tahu bahawa anak mereka itu menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar.

Pasangan itu turut dimaklumkan doktor bahawa mendiang telah didera sebelum dihantar ke hospital oleh kumpulan sindiket penipuan kerja pada 11 April lalu dengan menggunakan nama palsu “Mun Jun Hong” dan nombor pasport palsu.

Mangsa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dan meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei sebelum jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi atas nama “Mun Jun Hong” .

Pada 2 September, keluarga mangsa terpaksa mengumpul dana untuk menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA, pembakaran mayat serta membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.

Zhen Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bertemu rakan media sosialnya.

Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Februari. Berikutan itu pada 7 Februari bapanya membuat laporan orang hilang.

Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan sebelum hilang khabar berita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.