Badan Kehakiman anjur majlis peringati Salleh Abas

Badan Kehakiman anjur majlis peringati Salleh Abas

Allahyarham Salleh Abas pernah dilantik menjadi lord president yang kini dikenali sebagai ketua hakim negara bermula 1984 hingga 1988.

Bekas lord president, Salleh Abas, yang meninggal dunia pada Januari tahun lalu, akan diperingati dalam prosiding yang menjadi tradisi untuk mengenang persaudaraan dalam perundangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Badan Kehakiman akan menganjurkan prosiding memperingati bekas “lord president” Salleh Abas yang meninggal dunia tahun lalu.

Dalam notis media dikeluarkan minggu lalu Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, majlis itu akan bermula pada 8 pagi Rabu. Bagaimanapun, tiada perincian program didedahkan.

Tradisi yang memberi makna besar dan unik kepada profesion undang-undang itu, diadakan untuk memperingati ahlinya yang sudah meninggal dunia.

Salleh, yang berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu, meninggal dunia pada 16 Jan 2021 di Hospital Sultan Nur Zahirah, Kuala Terengganu, dua hari selepas disahkan positif Covid-19. Beliau ketika itu berusia 91 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai lord president di Mahkamah Persekutuan, bermula 1984 hingga 1988. Bagaimanapun, jawatan itu kemudian dinamakan semula sebagai ketua hakim negara.

Sebelum itu, Salleh pernah bertugas sebagai majistret dan kemudian timbalan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara. Beliau selepas itu dilantik peguam cara negara, pada 1963.

Salleh dilantik hakim Mahkamah Persekutuan dan mengambil alih jawatan sebagai ketua hakim Malaya, pada 1982, yang disandang Almarhum Raja Azlan Shah (kemudian ditabal Sultan Perak dan Yang di-Pertuan Agong ke-9) yang dilantik sebagai lord president.

Berjuang demi mengekalkan kebebasan badan kehakiman, Salleh disingkirkan sebagai lord president, bersama dengan pemecatan lima Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1988, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, sekali gus berlaku krisis Perlembagaan.

Salleh kemudian sempat terjun dalam politik dengan menang di kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh di Terengganu, atas tiket PAS, pada pilihan raya umum 1999 dan dilantik sebagai exco, apabila PAS berkuasa.

Selepas bersara daripada politik, beliau kembali ke bidang guaman dan kerap dilihat di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Prosiding memperingati itu merupakan kali kedua diadakan di Istana Kehakiman, selepas majlis sama diadakan untuk memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah, pada 20 Nov 2014. Sultan itu mangkat pada usia 86 tahun pada 28 Mei 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.