Air pasang besar: 30 rumah, premis perniagaan terjejas di Kuala Kedah

Air pasang besar: 30 rumah, premis perniagaan terjejas di Kuala Kedah

Antara kawasan terjejas termasuk di sekitar Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai.

Terdapat rumah penduduk dan gerai-gerai yang berada di kawasan berkenaan terjejas namun keadaan masih terkawal, menurut angkatan pertahanan awam.
ALOR SETAR:
Sejumlah 30 rumah dan premis perniagaan serta gerai makanan di sekitar Pekan Kuala Kedah, dinaiki air berikutan fenomena air pasang yang berlaku semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Norlizawati Ismail berkata antara kawasan terjejas termasuk di sekitar Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai.

“Pemantauan telah dilakukan pada pukul 1 hingga 1.55 tengah hari dan bacaan yang dicatatkan pada pukul 1.22 petang menunjukkan paras air berada pada ketinggian 2.95 meter.

Paras air menunjukkan peningkatan kesan daripada air pasang besar yang berlaku. Terdapat rumah penduduk dan gerai-gerai yang berada di kawasan berkenaan terjejas namun keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata keadaan cuaca di kawasan terbabit ketika itu adalah baik, tidak berangin dan tidak hujan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut melakukan pemantauan di beberapa lokasi di Daerah Kuala Muda khususnya di kawasan Pantai Kota Kuala Muda dan didapati berlaku sedikit kenaikan air yang melepasi paras sungai dan melimpah ke jalan raya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Azahar Ahmad bagaimanapun berkata setakat semalam, keadaan adalah terkawal dan tiada premis atau kediaman yang dinaiki air di daerah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.