
Beliau berkata walaupun MIC mengalu-alukan sebarang langkah bagi meminda perlembagaan BN, terutama dalam era pasca pilihan raya umum ke-14 yang mengakibatkan pertukaran kerajaan, mana-mana penyertaan baharu mestilah memberi manfaat kepada gabungan itu secara keseluruhan.
“Jika pihak berkenaan mempunyai kekuatan dan jentera, tiada siapa yang akan membantah. Tetapi jika tujuannya adalah untuk memberikan satu komponen tertentu lebih kuasa, ia tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT apabila ditanya sama ada MIC akan menyokong perubahan kepada klausa yang memberikan kuasa veto kepada parti komponen untuk memutuskan permohonan oleh parti baharu yang ingin menyertai gabungan itu.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung tahunan Makkal Sakti hari ini berkata, klausa dalam perlembagaan BN yang memberikan kuasa veto kepada parti komponen sudah lapuk dan mesti diubah suai.
Vigneswaran berkata keputusan oleh parti individu dalam BN tidak sepatutnya dikenakan ke atas gabungan itu, sambil menambah bahawa keputusan parti juga tidak boleh digunakan untuk membuat pendirian BN.
Beliau berkata BN juga harus mengelak daripada mengamalkan dwi standard apabila menerima parti-parti yang menentangnya pada masa lalu ke dalam kelompoknya.
“Keputusan ini berdasarkan konsensus yang bertujuan untuk tidak mengguris perasaan ahli gabungan yang saingannya telah bekerja menentang mereka pada pilihan raya lalu, tetapi memilih untuk menyertai BN sekarang.
“Jika prinsip memaafkan dan melupakan serta menerima mereka yang pernah bekerja menentang kita pada masa lalu, setiap parti yang telah bekerja menentang BN harus dipertimbangkan. Keputusan mengenai perkara ini tidak seharusnya dibuat mengikut kehendak pihak tertentu,” katanya.
Walaupun Vigneswaran tidak menjelaskan secara terperinci, adlah difahami beliau merujuk kepada Umno yang mengenakan keputusannya terhadap BN untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PAS, tanpa berbincang dengan ahli gabungan terlebih dahulu.
Vigneswaran berkata keputusan untuk menerima ahli baharu tidak seharusnya berdasarkan mereka yang menerima sokongan ramai, sambil menambah bahawa ini boleh dilakukan oleh beberapa NGO.
“Permohonan mereka mesti disokong oleh kekuatan keahlian berdaftar sebenar dan kekuatan jentera mereka.”
Beliau berkata MIC tidak pernah meninggalkan BN walaupun dalam detik paling gelap selepas kekalahannya dalam pilihan raya umum pada 2018, sambil menambah bahawa MCA pun mahu meninggalkan gabungan itu pada ketika itu.
“Saya amat berbangga dengan mengatakan bahawa MIC yang menyatukan jaringan BN untuk memastikan ia kekal bersama. Dan juga pengorbanan strategik MIC bagi kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya kecil pertama selepas PRU14 yang memastikan kemenangan pertama BN selepas beberapa kekalahan,” katanya.
Makkal Sakti telah merayu untuk menyertai BN sejak ia ditubuhkan pada 2013 tetapi difahamkan MIC telah menentang usaha parti pecah Hindraf untuk menjadi ahli gabungan itu.
Parti terbaru yang mahu menyertai BN ialah Parti Bangsa Malaysia, terdiri daripada ahli Parlimen dan ADUN yang telah keluar dari PKR. Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin adalah calon presidennya.