‘Kembalikan rumah sewa kami’, kata Kesatuan Pelajar UM

‘Kembalikan rumah sewa kami’, kata Kesatuan Pelajar UM

Dalam surat terbuka kepada pentadbiran UM, mereka mendakwa Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) tidak peka dengan kebajikan pelajar miskin di universiti berkenaan, terutama mereka yang datang daripada Sabah dan Sarawak.

Kesatuan Pelajar Universiti Malaya menggesa pihak berkuasa membuka dua lagi kolej kediaman bagi menampung lebih ramai pelajar miskin yang terjejas akibat kos tinggi penginapan di luar kampus.
PETALING JAYA:
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta pihak pentadbiran universiti berkenaan supaya mengembalikan semula rumah sewa KPUM yang tiba-tiba ditarik balik kerana rumah-rumah tersebut akan dijadikan sebagai rumah kediaman kakitangan UM sehingga mengakibatkan ramai pelajar terutama dari kalangan B40 kini dalam dilema.

Dalam surat terbuka mereka kepada pentadbiran UM, mereka mendakwa Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) tidak peka dengan kebajikan pelajar miskin di institut berkenaan, terutama mereka yang datang daripada Sabah dan Sarawak.

KMUM berkata, isu berkenaan sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah kerana terdapat banyak lagi rumah-rumah lain selain rumah sewa KMUM yang boleh digunakan untuk kakitangan universiti itu.

“Persoalannya, mengapakah pihak BHEP enggan menyelenggara rumah-rumah lebihan ini untuk dijadikan sebagai rumah kediaman kakitangan UM?

“Mengapakah pihak BHEP ingin menghalau keluar pelajar yang rata-ratanya dalam kalangan B40 dan pelajar berkeperluan yang tidak mendapat kolej kediaman dan tidak mampu untuk menanggung kos sewaan rumah yang tinggi di luar kampus sedangkan terdapat alternatif yang lain bagi menyelesaikan isu bagi rumah kediaman kakitangan UM?,” kata mereka dalam surat itu.

Berdasarkan laman web KMUM, banglo lama terbabit terletak berhampiran Kolej Kediaman ke-9 dan telah diubah suai untuk pelajar B40 menginap dengan sewa serendah RM150 sebulan.

Inisiatif itu diwujudkan bagi membantu pelajar senior khususnya dari keluarga B40 serta dari Sabah dan Sarawak untuk penginapan mereka sepanjang sesi pengajian.

Kesatuan itu juga mendesak pihak universiti supaya mengembalikan rumah sewa terbabit serta membuka dua lagi kolej kediaman bagi menampung lebih ramai pelajar yang terkesan akibat daripada kekurangan kapasiti penempatan.

Mereka juga mencadangkan supaya bantuan yang secara bersasar hendaklah diberikan kepada pelajar B40 yang layak dan gagal mendapat penempatan di kolej kediaman.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, mereka meminta kementerian kewangan supaya memperuntukkan dana bagi membiayai pembinaan lebih banyak kolej-kolej kediaman di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan sekurang-kurangnya 70% pelajar dapat ditempatkan di bilik asrama mampu milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.