DAP perlu kekalkan P Pinang supaya dapat tawan semula Putrajaya, kata Loke

DAP perlu kekalkan P Pinang supaya dapat tawan semula Putrajaya, kata Loke

Setiausaha agung DAP berkata, pemimpin parti itu perlu menonjolkan kejayaan dicapai demi meyakinkan pengundi.

Ratusan ahli DAP hadir pada pelancaran jentera pilihan raya Pulau Pinang di Komtar, George Town, hari ini.
GEORGE TOWN:
DAP Pulau Pinang diminta untuk terus bekerja keras mengekalkan kerajaan negeri bagi penggal keempat, termasuk menyakinkan pengundi untuk membantu parti itu dan rakan sekutu gabungan kembali berkuasa di Putrajaya.

Berucap pada pelancaran jentera pilihan raya parti, hari ini, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, mahu ahli partinya menonjolkan kemajuan dicapai kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menerajui Pulau Pinang selama tiga penggal.

“(Kita perlu beritahu rakyat Pulau Pinang) Bagaimana kita mengubah lanskap Pulau Pinang dan mentransformasikan Pulau Pinang daripada negeri ‘darul sampah’ menjadi pulau mutiara yang sebenarnya.

“Kerajaan negeri kita adalah yang paling bersih yang diiktiraf oleh ketua audit negara setiap tahun,” katanya.

Beliau turut menyentuh kejayaan DAP dan PH menghidupkan kembali Komtar dan kompleks komersialnya daripada “nampak lama” kepada “nampak berdaya”, selain Pulau Pinang menjadi destinasi kemasukan pelaburan langsung asing antara yang tertinggi di negara ini.

Loke berkata, rakyat negeri itu perlu diingatkan bagaimana kerajaan pusat PH mengurangkan kadar tol di Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan mewujudkan insurans MySalam B40 yang memanfaatkan sejuta rakyat Malaysia.

Katanya, pengundi Pulau Pinang juga perlu diyakinkan undi mereka pada pilihan raya umum 2018 bukan satu kesilapan.

“Kita perlu bagitau rakyat Pulau Pinang untuk terus pimpin perubahan supaya kita boleh ambil alih tampuk pemerintahan seperti pada 2018.

“Kalau bukan kerana 9 Mei, mustahil Najib akan dipenjarakan. Kita telah jatuhkan pemimpin yang korup dan kerajaan yang korup,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, mahu pengundi terus menyokong DAP dan PH untuk mengambil alih semula Putrajaya demi memastikan negeri ini memperoleh peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

Katanya, peruntukan kepada Pulau Pinang kurang RM7 bilion berbanding hasil diambil kerajaan pusat dalam bentuk cukai dan pendapatan dari negeri ini.

Lim juga menggesa bahagian DAP negeri bekerjasama membantu PKR dan Amanah mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing di negeri ini, termasuk kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

DAP Pulau Pinang merupakan negeri pertama melancarkan jentera pilihan rayanya, yang diketuai Lim Hui Ying.

Putrajaya perlu pinda isu kewarganegaraan

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, tanggungjawab berada pada Putrajaya untuk melaksanakan pindaan pada Perlembagaan bagi peruntukan pemberian taraf kewarganegaraan kepada anak dilahirkan ibu warganegara di negara luar yang berkahwin dengan suami bukan warganegara.

“Rang undang-undang pindaan mesti dimulakan kerajaan.

“Anda boleh untuk mengusulkan rang undang-undang persendirian, namun ia tidak pergi ke mana memandangkan pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga dan ia hanya akan berlaku sekiranya rang undang-undang kerajaan itu disokong pembangkang,” katanya kepada FMT.

Loke berkata demikian ketika ditanya sama Ahli Parlimen DAP dan PH akan mengusulkan rang undang-undang persendirian menyentuh perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.