Pastikan polisi insurans kenderaan lindungi penumpang, kata peguam

Pastikan polisi insurans kenderaan lindungi penumpang, kata peguam

Menurut peguam, ramai pemilik kenderaan persendirian tidak sedar mengenai kepentingan perlindungan itu kerana tidak diwajibkan.

Mahkamah Rayuan memutuskan penumpang kereta yang cedera dan ingin menuntut ganti rugi mesti membuktikan polisi insurans kenderaan itu merangkumi tuntutan tersebut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemilik kenderaan dinasihatkan memastikan polisi insurans kenderaan masing-masing turut melindungi penumpang mereka yang terbabit dalam kemalangan, kata seorang peguam.

Silva Velu berkata, kebanyakan pemilik kenderaan persendirian tidak menyedari kepentingan mendapatkan perlindungan itu kerana tidak diwajibkan, berbanding di Singapura.

Menurut Velu, bayaran premium tahunannya rendah dan boleh mengelakkan daripada pemilik terbabit berdepan masalah sekiranya penumpang menyamannya kerana kecederaan atau kematian.

“Bayarannya kurang RM50 tetapi ramai tidak mendapatkan polisi ini kerana ia hanya bersifat pilihan,” katanya kepada FMT mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mewajibkan setiap pemilik kenderaan menyediakan perlindungan kepada penumpang apabila pemilik kenderaan membeli insurans, seperti di Singapura.

Seorang lagi peguam Jeyaseelen Anthony berkata, tanpa perlindungan itu, pemandu dan pemilik kenderaan mungkin terpaksa membayar sendiri ganti rugi sekiranya berlaku sebarang kecederaan terhadap penumpang.

“Jika pemandu terbabit tidak mampu membayarnya, ganti rugi diperintahkan sekadar penghakiman ‘atas kertas’,” tambahnya.

Pada 29 Ogos, Mahkamah Rayuan memutuskan penumpang kereta yang cedera dan ingin menuntut ganti rugi mesti membuktikan bahawa tuntutan itu merangkumi polisi insurans kenderaan tersebut.

Dalam kes sebelum itu, mahkamah berkata pemohon Chen Boon Kwee, mesti memfailkan tindakan pemulihan terhadap Berjaya Sompo Insurance Bhd, bermaksud penumpang cedera berkenaan tidak boleh secara automatik menguatkuasakan penghakiman terhadap syarikat insurans itu.

Chen cedera dalam kemalangan ketika menaiki kereta isterinya yang dipandu rakan sekerjanya. Beliau memfailkan saman kerana kecuaian pemilik dan pemandu, selain pemandu dan pemilik lori yang terlibat dalam kejadian itu.

Pada Nov 2019, Mahkamah Sesyen memerintahkan ganti rugi RM200,000 dibayar kepadanya dan rakan sekerjanya terbabit didapati bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian itu.

Bagaimanapun, Berjaya Sompo memfailkan tindakan berasingan terhadap keputusan itu bahawa Chen mesti memfailkan saman pemulihan untuk menguatkuasakan penghakiman.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Berjaya Sompo. Chen memfailkan rayuannya yang mana beliau kalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.