
MCA akan bertanding di mana-mana kerusi yang mereka suka di Pulau Pinang selepas berunding dengan BN, kata presidennya Wee Ka Siong ketika ditanya mengenai rancangan parti itu menghadapi PRU15 di negeri itu.
Wee berkata, MCA tidak bercadang berunding dengan Gerakan bagi mengelak pertembungan seperti sebelum ini ketika mereka menjadi sekutu BN.
“MCA sedang mengintai kerusi yang pernah dipegang oleh Gerakan.
“Oleh kerana Gerakan tidak lagi berada dalam BN, sudah tentu kita akan berbincang dan soal siapa (akan bertanding) kita akan buat keputusan bersama, tidak ada isu dan kita mohon doa restu semua parti komponen supaya kita boleh menang.
“Kerusi Gerakan secara logiknya kita akan ambil alih, kalau tidak keseluruhan mungkin sebahagian besar membabitkan kawasan lebih tertumpu kepada kepadatan penduduk Cina namun perkara itu akan dimuktamadkan BN secara rundingan bersama,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang.
Beliau berkata, MCA berharap dapat menawarkan pilihan lebih baik untuk rakyat Pulau Pinang.
“Kami mencatat rekod yang baik pada masa lalu. Dengan senario politik baharu, kami percaya boleh menjadi pilihan lebih baik kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Katanya, MCA juga secara tradisinya bertanding di kerusi Parlimen Bayan Baru.
Pada pilihan raya umum 2018, Gerakan tewas di empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN ditandinginya.
MCA juga gagal di 10 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Wee berkata, rakyat Pulau Pinang perlu menganggap MCA sebagai pembangkang yang baik di DUN supaya dapat menyediakan semak dan imbang.
Katanya, jika pengundi Pulau Pinang mengubah fikiran mereka tentang Pakatan Harapan, MCA dan BN juga sudah bersedia untuk mentadbir berdasarkan pengalaman berpuluh tahun mentadbir.
Menurutnya, parti itu juga akan meletakkan profesional muda yang akan dibimbing oleh pemimpin senior.
Pada perhimpunan itu, Wee mengingatkan perwakilan tentang keputusan kerajaan Pakatan Harapan menghentikan pembiayaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata, apabila kerajaan baharu mengambil alih kuasa pada awal 2020, kolej itu menerima peruntukan serta-merta sebanyak RM58 juta, dan RM42 juta pada tahun berikutnya.