KPN boleh cadang tawar ganjaran maklumat keberadaan Jho Low, kata Ahli Parlimen

KPN boleh cadang tawar ganjaran maklumat keberadaan Jho Low, kata Ahli Parlimen

Lim Lip Eng turut mempersoalkan sama ada polis sudah menghubungi dua bekas wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope berhubung dakwaan mereka mengenai keberadaan Jho Low.

Khamis lalu Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya masih giat menjejaki Jho Low, termasuk meneliti kesahihan segala maklumat diterima berhubung keberadaannya di negara asing. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan sekiranya ketua polis negara (KPN) boleh mencadangkan kepada kerajaan tawaran ganjaran terhadap individu yang mempunyai maklumat terkini keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Sebagai contoh, ganjaran RM100,000 atau RM1 juta daripada harga kapal mewah Equanimity bernilai RM514 juta yang telah dirampas daripada Jho Low kemudian dijual kepada syarikat Genting oleh kerajaan pada 2019,” katanya di Facebook.

Sambil menyambut baik komitmen KPN dalam usaha mengesan Jho Low bagi menghadapi tindakan undang-undang, Lim turut mempersoalkan sama ada polis telah menghubungi dua bekas wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope.

“Ini kerana dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di China dan Hong Kong pada 2018 dan 2019. Sekiranya tidak, mengapa polis enggan mendapatkan maklumat daripada Wright dan Hope?” soalnya.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya masih giat menjejaki Jho Low, termasuk meneliti kesahihan segala maklumat diterima berhubung keberadaannya di negara asing.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon dan memperoleh “red notice” (individu dalam buruan berdepan pendakwaan) daripada Interpol terhadap Jho Low pada 2018, dan setakat ini permohonan ekstradisi tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaannya di negara berkenaan.

Jho Low dikehendaki susulan kaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB, dilapor menawarkan pembayaran RM1.5 bilion sebagai penyelesaian kes membabitkan dirinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.