Kerajaan sokong warta Masjid Kampung Laut jadi tapak warisan dunia

Kerajaan sokong warta Masjid Kampung Laut jadi tapak warisan dunia

Menurut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kerajaan turut membelanjakan RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut.

Masjid Kampung Laut merupakan masjid tertua di Malaysia yang berusia 400 tahun, telah dibawa pulang ke lokasi asalnya di Kampung Laut. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan menyokong penuh langkah mewartakan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara serta Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam catatan di laman Facebook semalam menyifatkan langkah itu sebagai sangat signifikan.

“Saya amat gembira kerana setelah lebih 50 tahun, hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Lama Kampung Laut ini menjadi kenyataan ibarat ‘sirih pulang ke gagang.’

“Kerajaan turut membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut,” katanya.

Masjid tertua di Malaysia berusia 400 tahun itu telah dibawa pulang ke lokasi asal di Kampung Laut, Tumpat bersama komponennya seperti struktur menara, mimbar, kolah dan bedok selepas 50 tahun dipindahkan ke Nilam Puri berikutan tapak asalnya ditenggelami air akibat banjir.

Ismail Sabri juga berkata, projek pembinaan Jambatan Palekbang, yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat bermula akhir tahun ini, mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik.

Beliau berkata jambatan sepanjang empat kilometer itu akan menjadi pemangkin utama kepada Kelantan sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

“Inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.