DAP dan PSB bertembung, GPS akan rampas semula kerusi bandar, kata penganalisis

DAP dan PSB bertembung, GPS akan rampas semula kerusi bandar, kata penganalisis

Pertembungan antara DAP dan PSB untuk kerusi Dewan Rakyat dikatakan akan membuka jalan kepada SUPP, komponen GPS, untuk mengecap kemenangan pada PRU.

Presiden PSB Wong Soon Koh minggu lepas berkata, beliau ‘tiada pilihan’ selain menentang Oscar Ling daripada DAP di Sibu.
PETALING JAYA:
Pertarungan sengit untuk kerusi bandar antara dua parti pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan membolehkan gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) membolot kerusi, kata dua penganalisis.

Mereka berkata, pertembungan antara DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk kerusi-kerusi Dewan Rakyat ini akan membuka jalan kepada komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), untuk mengecap kemenangan.

GPS ialah gabungan memerintah yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan turut dianggotai Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya juga berkata, mereka menjangkakan DAP tidak akan berjaya mengatasi PSB seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) Disember lepas apabila PSB memenangi lebih banyak kerusi.

“Kita melihat kebangkitan ‘nasionalisme negeri’, pihak yang marah kepada DAP bukan sahaja kerana prestasinya selama 22 bulan (berkuasa dalam kerajaan Pakatan Harapan), tetapi juga kerana parti itu dikuasai Malaya.

“DAP tidak boleh lari daripada perkara-perkara ini. Rakyat juga sangat marah dengan pemimpin DAP di Sarawak,” katanya kepada FMT.

“Tetapi DAP masih akan memenangi beberapa kerusi, ia tidak akan terhapus.”

Awang Azman berkata, DAP mempunyai kelebihan berbanding PSB dan bergantung kepada penyokong terasnya dalam kalangan pengundi Cina.

“Pertempuran sebenar adalah antara DAP dan GPS di kawasan bandar. DAP tidak perlu takut dengan PSB kerana sokongan kepada PSB masih lemah walaupun ia dilabel ‘parti tempatan’.

“Tetapi sentimen semasa menunjukkan pengundi Sarawak lebih suka GPS berbanding PSB dan DAP kerana gabungan itu berada dalam kerajaan,” katanya.

Pada Disember, PSB menjadi parti pembangkang utama selepas memenangi empat kerusi manakala DAP hanya menang dua. GPS membolot 76 kerusi. DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi.

Pada Isnin, PSB berkata, ia akan mencabar DAP untuk kerusi bandar di Sarawak, dengan presiden parti, Wong Soon Koh akan bertanding bagi kerusi Parlimen Sibu yang kini dipegang Oscar Ling.

Wong berkata, pihaknya tiada pilihan selain “bertempur” dengan DAP kerana kerusi ahlinya tidak boleh dirunding.

Katanya lagi, PSB sedang bekerjasama untuk membentuk barisan bersatu dengan parti-parti tempatan lain, seperti Parti Bumi Kenyalang, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.