
Ramasamy berkata, jika Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad boleh mempersendakan kehadiran UNHCR dalam kenyataan kepada media, maka ia boleh dianggap bahawa kerajaan tidak berpuas hati dengan kewujudan agensi PBB itu di Malaysia.
Pada Selasa, Rodzi mencadangkan pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini tanpa “campur tangan asing”.
Bagaimanapun, Ramasamy berkata, tidak ada agensi kerajaan pada masa ini yang mampu menangani “masalah rumit dan pelbagai dimensi” pelarian dan pencari suaka selain UNHCR.
ADUN Perai itu berkata, kerajaan atau menteri berkenaan mesti sama ada menegur Rodzi atau menerima hakikat bahawa UNHCR tidak dialu-alukan di negara ini.
Dalam kenyataan, beliau mengulangi bahawa UNHCR paling sesuai untuk menguruskan pelarian di negara ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf secara rasmi status pelarian dan pencari suaka.
“Pelarian hanya dilihat dari sudut undang-undang (oleh kerajaan), sama ada mereka mempunyai dokumen kemasukan yang sah atau tidak. Jika tidak, dalam kebanyakan kes, mereka boleh dikenakan tangkapan dan pengusiran.
“Bagaimanapun, kehadiran UNHCR menyukarkan kerajaan untuk menggunakan perspektif undang-undang dan perintah yang menyeluruh,” katanya.