
Katanya, mustahil bagi akar umbi gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda jika gagal memuktamadkan sokongan tuntas kepada Anwar.
“Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan Muda, sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui secara kolektif,” katanya dalam kenyataan.
Halimey berkata, Muda juga perlu memberi penjelasan tindakan semberono meletakkan calon menentang PKR di Larkin pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.
Katanya, sambil menggambarkan pertembungan itu “masih berdarah”, selain sindiran Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Anwar pada 2014, yang dikatakannya kembali tular.
Pada 6 Sept Syed Saddiq berkata, Muda mengambil keputusan untuk menyertai PH menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Muda juga terbuka untuk mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, selain menyasarkan bertanding kawasan Parlimen tidak lebih 15 kerusi.
Halimey ketika mengulas lanjut, mengakui masih banyak ruang kosong terutama di kerusi tradisi Umno dan PAS yang memerlukan tenaga segar daripada parti seperti Muda, yang terbuka “mengumumkan” ingin bertanding sejumlah kerusi seperti dinyatakan sebelum berunding.
“Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Sebaliknya, fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak,” katanya.