
Pembantu makmal, Syarekha A Jafer, 26, yang juga baru-baru ini turut menjadi mangsa menyatakan rasa tidak puas hati atas maklum balas dari banknya di cawangan Keningau, Sabah, selepas membuat laporan apabila menyedari duitnya hilang pada 30 Ogos lalu.
“Sebenarnya dah pergi bank pada 30 Ogos tapi kaunter buka sampai 4.30. Esok dah cuti Merdeka tak boleh proses ‘report’ kena call ‘helpline’ dulu, jadi tunggu sampai 1 September, sampai sekarang belum terima panggilan dari pihak bank. Bank diam seribu bahasa.
“Saya tidak puas hati, bank kena buat sesuatu tambah baik sistem, mutu kerja terutama perkhidmatan pelanggan, banyak atau sikit jumlah wang itu masing hilang di bawah simpanan mereka. Takkan nak sampai orang hilang percaya pada bank,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pada 30 Ogos lalu, Syarekha membuat hantaran Facebook menyatakan wangnya berjumlah RM1,184 hilang dari akaun banknya itu sedangkan telah membuat had transaksi hanya RM1,000, perkara itu disedari selepas membuat pemeriksaan di aplikasi bank berkenaan.
Difahamkan, terdapat dua kali transaksi atas nama dan akaun yang tidak dikenali tanpa pengetahuannya dan tidak menerima sebarang mesej pengesahan dari pihak bank.
Ujarnya, dia sangat berhati-hati dengan ancaman ‘scammer’ dan yakin tidak menekan mana-mana link atau melayani panggilan yang mencurigakan. Disebabkan itulah dia yakin masalah ini turut berpunca daripada kelemahan sistem bank.
Had RM1,000 pengeluaran, namun tetap ‘tembus’
“Tanpa nombor TAC pun, walhal akaun saya selama ini memang dilindungi dengan nombor TAC dan saya sangat berjaga-jaga dengan ‘scammer’. Saya had hanya RM1,000 pengeluaran sahaja, kenapa boleh tembus? Dua transaksi itu bukan saya yang buat.
“Sistem bank lemah, perkhidmatan pun kurang memuaskan, 90% gaji sebulan saya kena telan, mereka tiada bagi penjelasan apa-apa pun dengan saya. Malah mereka tanya ‘jadi cik mau buat report atas dasar apa?’” katanya.
Menurut Syarekha, dia sudah pun membuat laporan di Balai Polis Keningau berhubung kejadian tersebut dan sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada pihak bank.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu kehilangan wang di dalam akaun pengguna.
“Kita dah hubungi BNM, mereka minta kita hantar satu surat rasmi berkenaan isu ini. Dalam masa terdekat ini kita akan buat surat dan hantar pada mereka,” katanya ketika dihubungi.
FMT turut mendapatkan pandangan orang ramai berhubung isu kehilangan wang simpanan di dalam akaun bank. Rata-ratanya mula mempersoalkan jaminan keselamatan dalam sistem perbankan di negara ini.
Menurut guru, Wan Rosrahimah Mustafa, 36, dia yang juga membuat perniagaan sendiri mula was-was untuk membuat simpanan di dalam bank dan lebih memilih membuat pelaburan dengan membeli emas.
Dalam bank ada ‘toyol’
“Betullah tu dalam bank dah ada ‘toyol’ sekarang, sebab senang beribu-ribu (ringgit) boleh hilang. Jujur kata sekarang memang rasa was-was sebab orang nak scam dah macam-macam cara, bila dah jadi kes macam ini pihak bank buat apa?” soalnya.
Turut sependapat, pengawal keselamatan, Safri Kamaruddin, 47, yang berkata, pihak bank tidak harus hanya meminta pelanggan untuk berhati-hati sebaliknya bank juga meningkatkan perlu keselamatan dalam sistem mereka.
“Sampai bila nak macam ni? Kita kena ‘scam’ duit lesap dari bank, bank setakat ambil aduan lepas itu senyap. Nanti keluar kenyataan cara halang diri dari kena ‘scam’.
“Jangan hanya minta pelanggan berjaga-jaga, bank pun kena sama, semak semula dengan pelanggan,” katanya.
FMT telah menghubungi pihak bank berkenaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklum balas.